Wednesday, June 20, 2012

 12:30 AM   Anonymous      No comments

Assalamualaikumwarahmatullahiwabarakatuh. Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Tiada kalimat lain untuk aku terjemahkan rasa syukur kepadaMu. Moga Engkau selalu redha denganku. Secebis doa aku tadahkan, selautan cinta yang selalu Engkau limpahkan...

Terkadang,
Aku ingin merendah diri,
Namun dunia selalu melambung aku tinggi,
Sehingga aku lupa dilambung tinggi itu juga tarbiyyah Illahi,
Selangkah mendekatiNya atau setapak menjauhiNya.

Lalu cepat-cepat aku berbaring di hamparan tanah,
Ku balut diriku dengan rasa kerendahan dan kesederhanaan,
Aku mula menghitung diriku,
Bermuhasabah dalam tangisan,
Deras air mataku memenuhi segenap kekosongan dalam kalbu.



Berbaring-baring sahaja belum cukup,
Kekosongan itu masih ada,
Relung-relung hati makin merindui cahaya hidayah itu,
Ku tebarkan wudhu' ke seluruh tubuhku,
Sepertimana basahnya wajahku, aku ingin hatiku turut basah dalam keinsafan,
Terus ku hadiahkan sujud hangat seorang hamba untuk Penciptanya yang hakiki.

Air mata masih mengalir,
Menderu-deru mencela diri sendiri,
Menilai bilangan syukur dan rungutan hidup,
Apakah aku masih layak untuk terus menagih redhaNya?

Bukankah rahmat Allah itu maha luas?
Bukankah kasih dan sayangNya tiada mengenal erti putus?
Bukankah Allah itu satu-satunya tempatku bergantung harap?
Bukankah Allah itu setiap detik bersamaku?
Bukankah Allah itu Tuhanku dan aku ini hambanya?



Aku jadi teringat sebuah kisah,
Nostalgia jejak langkah seorang hamba,
RedhaMu Ya Allah, aku balas dengan kemungkaran,
RahmatMu Ya Allah, aku balas dengan kelalaian,
KasihMu Ya Allah, aku balas dengan kealpaan,
CintaMu Ya Allah, aku balas dengan keingkaran,
RezekiMu Ya Allah, aku balas dengan rungutan dan aduan yang tiada henti,
Namun,
Allahu, Kau tidak pernah berhenti mencintaiku.

Sesungguhnya,
Aku bukan seorang hamba yang baik,
Sujudku seribu tahun pun belum tentu dapat melamar syurgaMu,
Apakah aku lupa bahawa Allah Maha Pengampun?
Sudah tentu tidak!
Cuma, luasnya keampunan Illahi bukan alasan untuk aku terus menari bersama maksiat.



Ku seka air mata yang seakan tidak mahu berhenti,
Sudah puas aku merintih, mengadu nasib dan merayu,
Jalan-jalan keampunan masih luas terbuka,
Lorong-lorong taubat masih lurus terbentang,
Aku bulatkan niat dan perkasakan tekad,
Seluruh motivasi dan potensi aku wakafkan,
Setiap inspirasi dan aspirasi aku infakkan,
Dan segala misi dan visi aku landaskan pada jalan cinta Illahi.

Aku pun terus membaiki jalan cintaku,
Menutup segala kelemahan dan kekurangan di sepanjang jalan ini,
Aku mahu pastikan langkahku kali ini kemas, tenang dan lancar,
Ku luruskan mana yang bengkok dan ku patrikan mana yang longgar,
Agar aku tetap terus berjalan di atas jalan cinta ini,
Jalan perjuangan seorang hamba.



Ini bukan perjuangan golongan astizah,
Ini aksara cinta, permulaan ke arah cinta yang tiada taranya,
Ini perjuangan jemaah,
Dan aku sama sekali tidak ingin tertinggal di belakang,
Aku ingin turut serta berjuang.

Jalan yang panjang ini belum termaktub penamatnya,
Belum ternampak destinasinya, namun sudah aku tahu keindahannya,
Yang pasti, esok aku akan kembali lagi,
Kembali menangis dihadapanMu dalam setiap sujudku...

Hadith Qudsi :
"Pergilah pada hambaku lalu timpakanlah berbagai ujian padanya kerana Aku ingin mendengar rintihannya"
(Hadith riwayat Thabrani dari Abu Umamah r.a)

Wassalam...
 

0 comments:

Total Pageviews

Followers

Twitter

Be Likeable!

Fami-Liar's Posts

get this widget here

Writers of Life

Pages

Solat Time

Powered by Blogger.

Petikan Al-Quran

Blog Archive

Popular Posts