Wednesday, April 1, 2015



Pada 31 Mac yang lalu, LawFac Islamic Students Association telah menganjurkan sebuah program yang dengan rendah dirinya bertujuan untuk memberi kefahaman asas tentang kewajipan berhijab wanita muslim kepada gologan masyarakat lain. Program ini juga melibatkan sesi memakai hijab oleh wanita bukan islam untuk merasai sendiri perasaan wanita muslim sehari-harian.

Program ini juga bukanlah sempurna dan sudah pasti ada cacat celanya yang perlu kami baiki. Pun begitu, tahniah kepada pihak penganjur atas usaha yang murni ini. Apatah lagi pengarah projek ini seorang non muslim dan sebahagian besar jawatankuasa ini juga merupakan non muslim yang komited dalam memberi penerangan buat masyarakat. Tahniah dan terima kasih.

Semalam saya telah menerima beberapa persoalan berkaitan sebuah pamphlet edaran ahli LISA berkenaan hijab. Saya kira ini contoh persoalan yang baik. Sekalipun ia ditujukan kepada umum, selaku seorang muslim dan pengerusi LISA saya berasa ber’amanah’ untuk memberi sedikit respons akan persoalan-persoalan tersebut. Sebelumnya, saya ucapkan terima kasih kepada kenalan tersebut atas persoalan-persoalan beliau yang saya yakin dibuat atas dasar ingin tahu. Sememangnya hal-hal seperti inilah yang kita harapkan tatkala hidup dalam masyarakat yang berbilang. Persoalan untuk mendapatkan kefahaman. Luar biasa dan indah suasan yang ada di depan kita sekarang ini. Saya dengan rendah diri mengharapkan respons saya ini sedikit sebanyak boleh memberi gambaran asas kepada konsep hijab.

1.0   Apakah Yang Dimaksudkan Dengan ‘Objectified’

Untuk menjawab persoalan ini saya kira baik untuk saya terangkan konsep menutup aurat di dalam Islam.

"Hai Nabi! Katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mu'min semua hendaklah mereka melabuhkan jilbab-jilbab mereka atas (muka-muka) mereka. Yang demikian itu lebih memastikan mereka agar dikenali (sebagai wanita Islam) supaya mereka tidak diganggu." (al-Ahzab: 59)

Jilbab, iaitu pakaian yang lebarnya semacam baju kurung untuk dipakai oleh kaum wanita bagi menutupi tubuh badannya. Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi menerangkan "Sebahagian perempuan Jahiliah apabila keluar rumah, mereka suka menampakkan sebahagian kecantikannya, misalnya dada, leher dan rambut, sehingga mereka ini diganggu oleh laki-laki fasik (jahat) dan yang suka berzina, kemudian turunlah ayat di atas yang memerintahkan kepada orang-orang perempuan Islam untuk melabuhkan jilbabnya itu sehingga semua bahagian-bahagian tubuhnya yang boleh membawa fitnah itu tidak kelihatan. Dengan demikian secara zahirnya pula mereka itu akan dikenali sebagai wanita yang terpelihara (‘afifah) serta tidak mudah diganggu oleh orang-orang yang suka kejahatan atau orang-orang munafik.

 Jadi jelasnya, bahawa ayat tersebut memberikan ‘illah (alasan) utama perintah ini adalah kerana bimbang wanita muslimah diganggu oleh orang-orang fasik dan menjadi perhatian orang-orang yang suka berzina. Bukanlah ketakutan yang timbul dari perempuan itu sendiri atau karena tidak percaya kepada mereka, sebagaimana anggapan sebahagian orang, tetapi ia adalah kerana sebahagian wanita yang suka menampakkan perhiasannya, berjalan dengan penuh lenggang lengguk dan bicaranya dibuat-buat manja, sering menarik perhatian nafsu lelaki dan menjadikannya sasaran orang-orang yang suka berzina.

Sungguh kita dalam kesesatan yang nyata seandainya menyangka bahawa hanya hijab yang perlu ditaati dalam isu menutup aurat ini. Sedangkan Islam menekankan untuk berpakaian sopan dan sederhana, tidak mendedahkan bahagian-bahagian menarik yang ada pada wanita, bercakap dengan perkataan-perkataan yang mulia, serta berakhlak mulia.

Tentang terma objectified pula saya terangkan dengan semudah mungkin. Saat bila berpakaian seksi dan tak mahu mengenakan hijab ini kenapa? Rata-rata bila kita melontarkan persoalan ini jawapan kaum wanita ialah untuk kelihatan cantik, mengikut trend dan fesyen.

Soalan seterusnya cantik untuk siapa? Sudah pasti untuk mereka yang melihat yang terdiri daripada lelaki dan perempuan. Sepertimana juga saudara, saya juga berkesempatan untuk menghadiri kelas Gender dan Undang-Undang. Bukankah begitu banyak sekali insiden berkaitan dengan wanita didiskriminasi kerana tidak cantik hingga ada yang menderita penderaan psikologi hanya kerana mereka dicerca dan dihina kerana tidak menarik pada pandangan masyarakat.

Bukankan ingin dilihat sebagai cantik kerana manusia ini juga merupakan sebuah bentuk perhambaan dan objectified? Islam berpandangan melindungi bahagian-bahagian indah yang ada pada wanita ini sebagai sebuah tingkahlaku yang mulia. Bukannya Islam melarang terus daripada menjadi cantik, tetapi cantik perlulah berlandaskan syariat. Pemakaian hijab juga dikecualikan bila bersama golongan keluarga. Nah, seandainya ingin benar kelihatan cantik kepada seorang lelaki, jadilah wanita yang paling cantik dan istimewa sekali di hadapan suami anda? Bukankah itu yang lebih baik kerana lelaki itulah yang paling anda cintai dan ingin meberikan segala yang istimewa untuknya?

Anasir-anasir luar juga banyak memainkan peranan untuk mengatakan bahawa menutup aurat atau memakai hijab suatu bentuk opressi atau bagaimana wanita muslimah ini perlu taat kepada perintah kaum lelaki.  Bukanlah itu mesej yang ingin disampaikan Islam. Islam melihat kewajiban menutup aurat ini sebagai sebuah bentuk empowerment dan sebagai guaranti bahawa wanita akan dinilai berdasarkan kecantikan dalaman beliau berbanding kecantikan luaran. Hijab itulah yang menaikkan lagi status wanita di mana wanita dilihat atas dasar kecerdasan intelektual beliau berbanding tarikan seksualiti yang ada.

Dan kerana apa wanita muslimah diwajibkan berhijab? Semuanya tidak lain tidak bukan kerana Allah semata dan bukannya atas kehendak manusia atau ingin memuaskan pandangan mata sesiapa. Begitulah Islam yang mengajar umatnya hanya untuk menghambakan diri kepada Tuhan. Bukan kepada yang lain. Bukankah ini juga melepaskan wanita daripada menjadi ‘object’ masyarakat dan akhirnya hanya berserah diri total kepada Tuhan dan berpakaian pun hanya kepadaNya. Jangan pula kita nak mengatakan bahawa perintah Tuhan untuk berpakaian sopan itu pelik dan tidak sesuai dengan ajaran semasa. 

Kalau boleh, saya petik sebuah ayat daripada pamphlet yang turut kami edarkan, “Rather (hijab), it is a shield guarding against degrading remarks, unwanted advances and unfair discrimination”. Daripada total mereka yang memeluk islam di seluruh dunia, 75% adalah kaum wanita. Takkanlah kaum wanita ini ingin memasuki sebuah agama yang menekan hak-hak mereka?

Jadi akhirnya adakah pakaian menjadi symbol status kemuliaan seseorang dalam Islam? Tentu sekali tidak.

“…sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa…” (Hujurat : 13)

Jelas bukannya pakaian yang menjadi penentu tetapi ke’takwa’an kepada Tuhan. Takwa secara mudah beerti ketaatan kepada segala perintah Tuhan dan meninggalkan segala larangan. Ini bermakna menutup aurat yang merupakan ketaatan kepada perintah Tuhan adalah sebuah langkah ke arah takwa. Tidak cukup sekadar berhijab tetapi akhlak masih belum terjaga. Dan Islam sudah pasti tidak mengajar manusia untuk menjadi judgmental atau penghukum di antara orang lain. Banyak kali diulas di dalam Al Quran bahawa hanya Allah jua lah yang mengetahui ke’takwa’an seseorang. Tugas manusia hanyalah menjalankan perintahNya serta berpesan-pesan ke arah kebaikan.
Makanya sebagai umat islam yang berakhlak, tidak sepatutnya kita menghukum dan menghina mereka yang tidak mengenakan hijab sebaliknya kita perlu mengajak mereka kepada kebaikan dengan berhikmah.


2.0   Pakaian Menghindari Wanita Daripada Serangan Seksual?

“Sebab wanita kena rogol ialah kerana dia pakai seksi”

Saya yakin kenyataan di atas ni anda selalu dengar daripada mulut beberapa orang ahli politik. Tentu ramai yang tidak setuju. Baik, saya cuba jelaskan seadanya. Saya pun secara jujur puas memikirkan penerangan terbaik tentang hal ini. Akhirnya saya temukan penjelasan yang saya kira berasas daripada tulisan Dr Zaharuddin yang sesuai dalam menerangkan hal ini. Saya lampirkan terus sebagai jawapan untuk persoalan kedua ini.

“Semasa saya memberikan kuliah kepada satu kumpulan wanita yang terdiri dari golongan professional termasuk para Datin di satu daerah, ketika itu, sedang heboh isu wanita seksi ditangkap di sebuah kelab malam. Lalu timbul isu hak peribadi wanita untuk memakai apa jua pakaian yang diingininya, termasuk yang seksi. Lalu, semasa kuliah ini saya mengambil peluang bertanya kepada kumpulan wanita ini soalan mudah berikut :-

"Apakah agaknya sebab wanita ingin memakai seksi dikhalayak ramai? Dengan skirt pendek, atau baju sendat dan nipis?"

Ada di antara mereka mula memberikan pandangan, tetapi kerana terlampau ramai yang bercakap, saya tidak mendengar butirannya. Apabila saya meminta seorang wakil, seorang menjawab dengan yakin.

" Untuk nampak cantik ustaz..." katanya sambil tersenyum malu.

Saya bertanya pula : "Agaknya kepada siapa nak ditunjukkan kecantikan itu?"

"Tentulah kepada kaum lelaki ustaz, kaum wanita pun iye juga.." sambungnya.

"Baiklah, jika lelaki tersebut sudah tergoda dengan kecantikan tu, lalu ingin menyentuh bahagian indah yang dilihatnya boleh tak ?" Tanya saya menguji.

" Isyh, ustaz ni.. tentulah tak boleh ustaz, dah kira ‘sexual harassment' (gangguan seksual) tu ustaz" dengan yakin sekali hujjahnya kali ini.

"Jika demikian, tidakkah para wanita merasakan, tindakan mereka yang memaparkan bahagian yang menarik di tubuh mereka itu juga merupakan gangguan seksual kepada lelaki?" Tambah saya.

" Erm, macam mana tu ustaz?" Tanya mereka dengan nampak sedikit bingung sambil berkerut dahi.

"Ye la, bila orang lelaki yang dah naik syahwatnya tu, kerana kecantikan peha wanita tu contohnya, mestilah terganggu syahwatnya, lalu terdetik keinginan seksualnya secara tidak terkawal" .."Kerana itu saya katakan berpakaian seksi adalah suatu bentuk gangguan seksual kepada orang lelaki di sekelilingnya"

"Cuba bayangkan, kucing yang lapar diacah-acah dengan ikan ‘fresh' yang digoyang-goyankan di hadapannya tentu geram kucing tu, malah silap haribulan, tentu diterkamnya muka orang yang mengacah juga" Tambah saya lagi memberi keyakinan.

"Tapi perlu diingat, tak semua kucing akan terkam, hanya yang amat lapar dan liar je, demikian juga lelaki, tak semua lelaki gagal kawal nafsunya, tetapi tak dinafikan bahawa ramai juga yang gagal dan liar"

"Akhirnya, kerana suasana yang tak sesuai, mungkin kerana ramai orang dan di tempat awam pula, terselamatlah wanita seksi itu dari terkaman lelaki liar tadi. Masalahnya, anak-anak perempuan kecil berumur 7 hingga 12 tahun yang mungkin menjadi mangsa tempiasan nafsu lelaki begini. Dan di ketika itu, samada wanita itu bertudung, berjubah, kanak-kanak dan sebagainya tidak lagi mampu menahan nafsu si lelaki seperti ini, asalkan suasana cukup sesuai (sunyi dan jauh dari pandangan ramai), akan dilepaskan nafsunya secara kekerasan" Terang saya dengan panjang lebar, mereka mengganguk dengan wajah serius kali ini….”

Ramai wanita professional dan yang kurang didikan agama hari ini mencebik bibirnya apabila tajuk ini disebutkan, mereka tidak percaya langsung fakta yang saya sebut diatas. Malah ada yang berpendapat lelaki sengaja melakukan perkara buruk kepada wanita kerana ingin menunjukkan kekuasaannya terhadap wanita. Kerap benar saya dengar hujah ini di media massa.

Hakikatnya, sebagai hamba Allah SWT dan umat Rasulullah SAW kita diajar untuk merujuk Al-Quran dan Al-Hadith bagi mendapat kepastian tentang baik buruk dan benar salahnya sesuatu perkara itu. Dalam hal ini, kita rujuk semula ayat Surah Al Ahzab : 59 yang telah saya petik dalam persoalan pertama. Ayat tersebut menjelaskan hijab dan menutup aurat ini sebagai mekanisme terbaik untuk melindungi wanita daripada diganggu dan disakiti.

"Eleh, tetapi hari ini ramai juga wanita bertudung yang kena rogol, malah setengahnya kena bunuh dijerut dengan tudungnya pulak, kanak-kanak pun kena rogol dan bunuh. Ini maknanya, tudung bukan lagi penyelamat la ustaz. Ha..macam mana ustaz nak jawab tu ?. Hujah balas yang selalu saya dengar bila isu ini ditimbulkan.

"Pernah tak anda merasa amat marah sepanjang hidup anda ?" Tanya saya kembali.

"Pernah juga ustaz..kenapa ustaz, apa kaitannya?" Bingung sekali lagi mereka nampaknya.

"Biasanya bila seseorang itu sedang amat marah, sempat tak agaknya ia berfikir bahaya atau tidak tindakan yang dibuatnya sebagai contoh; ada orang yang sedang marah kerana bising tangisan kanak-kanak, maka ditendang (seperti berita yang saya baca di akhbar baru-baru ini), ditolak jatuh tangga, ditekup wajah kanak-kanak itu dengan bantal dan macam-macam lagi bagi menghilangkan kemarahan atau gangguan bising itu, setelah beberapa ketika mungkin baru seolah-olah dia tersedar, lalu cemas dan mungkin menyesal"

"Demikianlah juga nafsu jahat, bila ia berada di tahap tinggi, ia tidak lagi melihat samada kepada pakaian dan umur wanita mahupun isteri orang dihadapannya, sasarannya hanya mendapatkan hajat jahatnya, kerana itulah wanita yang menutup aurat dengan sempurna serta kanak-kanak perempuan juga terancam, tanpa dapat dinafikan juga peranan vcd, laman, akhbar, majalah dan novel lucah " terang saya.

"Tapi macam mana pulak ayat tadi kata tutup aurat dapat mengelakkan wanita dari disakiti ?" Balas mereka dengan penuh minat kali ini.

"Jika kita lihat dengan teliti, ayat tadi sebenarnya ditujukan kepada seluruh kaum wanita. Ini bermaksud, jika sebahagian besar wanita tidak mentaatinya dan memakai pakaian seksi pula. Di ketika itu, faedah dan kebaikan dari tutup aurat bagi menjaga semua kaum wanita dari disakiti secara umum akan tergugat dariu mencapai matlamat umumnya. Sebenarnya, ayat itu nak beritahu bahawa seluruh wanita bertanggung jawab menjaga keselamatan kaum sejenisnya dengan menjaga aurat masing-masing" Jelas saya

"Maka bila ada yang seksi, ini bermakna, ia sedang mengancam kaum sejenisnya yang lain dan di tempat lain kerana telah menghidupkan nafsu kebinatangan lelaki jahat yang sedang tidur"

Saya masih ingat, dalam perjalanan ke Masjid untuk menunaikan solat Jumaat di sebuah Masjid di Ibu Negara. Pejabat saya di Jalan Sultan Ismail dan pada hari tersebut saya menumpang kereta seorang rakan. Bersama kami  beberapa rakan sekerja yang lain. Tiba-tiba semasa berada di lampu trafik, tiba-tiba suasana dalam kereta agak bising dengan bunyi..uiiiii..oii...peh..mengancam...dan sebagainya, diikuti dengan kata-kata :

"Astaghfirullah..korang ini teruk betul la, kan ustaz ada dengan kita ini.." Kemudian "disambut dengan kata rakan di belakang, ye la..ini la yang bagus kita pergi masjid dengan ustaz, terjaga sikit"
Anda tentu dapat menggagak apa yang dilihatnya? Alhamdulilllah saya tidak sempat melihat apa-apa kerana sedang membelek pelbagai mesej soalan hukum hakam tertunda yang memenuhi telefon bimbit saya. Bila saya tanya, kenapa? dengan malu-malu mereka menyalahkan sesama sendiri akibat ‘gatal mata' melihat skirt-skirt pendek wanita KL, samada wanita Melayu mahupun Cina disekitar kawasan segitiga emas itu.

Cuba bayangkan, perasaan lelaki-lelaki ini. Mereka dalam perjalanan ke masjid, semuanya juga telah berumah tangga, tapi nafsu masih teransang apabila didedahkan kepada permandangan seperti itu. Jahatkah mereka?

"Gatal dan dah miang sangat kot orang lelaki ni, memang teruk mereka ni, tak sangka, harap suami kita tak macam ni" mungkin itulah yang akan dikatakan oleh sebahagian besar pembaca wanita sekarang ini. 

Tapi itulah cabaran terbesar lelaki wahai kaum wanita, iaitu ANDA, wanita dan seluruh kecantikan yang dikurniakan Allah SWT kepadanya sebagai ujian, ia disebutkan oleh Allah SWT :

"Dihiaskan (diuji) bagi manusia itu, nafsu syahwat dan keinginan serta kecintaan kepada wanita, anak-anak, harta..."

Ayat ini dengan jelas menyebut syahwat utama lelaki adalah pada wanita. Nabi SAW juga pernah bersabda :

Ertinya : "Tidak aku tinggalkan fitnah selepasku yang lebih boleh membawa mudarat kepada lelaki selain wanita" (Riwayat Al-Bukhari, 7/11, bab Zikir & Doa )”

Kalau boleh saya rumuskan, penerangan Dr Zaharuddin ini menjelaskan bagaimana kewajiban berhijab merupakan sebuah perintah untuk semua kaum wanita. Saat bila perintah ini dipatuhi semua dan ramai yang berpakaian sopan, maka ianya menjadi sebuah bentuk perlindungan kepada wanita daripada serangan syahwat lelaki.  Sekiranya majority berpakaian mendedah aurat di sekeliling, maka fungsi hijab sebagai pelindung juga akan menjadi sia-sia, kerana yakinlah nafsu serakah lelaki tidak mengenal mangsa. Lihatlah bagaimana dalam kewajiba mengenakan hijab dan menutup aurat pun Islam mengenal pasti keselamatan bersama yang perlu diusahakan bersama.

Janganlah pula kita katakan bahawa wanita sahaja yang perlu bertanggungjawab atas keselamatan mereka. Tidak pernah sekalipun Islam mengatakan bahawa lelaki merogol wanita kerana salah wanita yang pakai seksi misalnya. Ttetapi Islam mengenalpasti tanggungjawab dan tugas masing-masing dalam memastikan perhubungan simbiosis antara lelaki dan perempuan boleh dijaga. On the part of the woman mereka perlu menepati dress code mereka seperti berpakaian sopan, sederhana, menjaga dalam pergaulan dan berhijab. Untuk tanggungjawab lelaki pula saya akan jelaskan dengan lebih lanjut dalam persoalan ketiga. Cumanya fahamilah, dalam persoalan isu-isu seksual ini, kalau kita hendak menyelesaikannya it takes two to tango. Setiap gender perlu memainkan peranan. 2 persoalan ini saya kira dah banyak menerangkan berkenaan wanita. Dalam yang terakhir nanti saya cuba terangkan obligasi lelaki pula.


3.0   Kenapa Wanita Perlu Buat Lebih Berbanding Lelaki?

Persoalannya ialah kenapa wanita kena pakai tudung atau hijab sedangkan lelaki tidak perlu pun? Seolah-olah menampakan Islam meletakkan status wanita di bawah lelaki kerana tidak sama kedua-duanya dari segi berpakaian.

Baik, pertama sekali kita lihat firman Allah yang ini,

“Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka.“ (Surah An Nur : 30)

 Firman Allah SWT bermaksud :

“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka. “ (Surah An Nur : 31)

Kedua-dua ayat ini menetapkan supaya lelaki dan wanita dalam islam untuk menjaga pandangan dan kehormatan diri mereka. Cumanya dalam ayat 31 ini Allah lanjutkan lagi dengan memberi peringat kepada wanita tentang kewajiban untuk menutup aurat mereka dengan mengenakan hijab. Lantas ada yang mengatakan bahawa Allah atau Islam tidak adil di sini.

Pertama sekali, peringatan ini diturunkan dalam ayat yang berbeza, peringan pertama diberi terus kepada lelaki bermaksud dalam soal menjaga pandangan ini, kaum lelaki perlu lebih teliti. Sebab itu Allah ingatkan kaum lelaki terlebih dahulu. Betul kan bahawa lelaki sangat susah menjaga pandangan, kalau kita lihat di zaman sekarang ini pun berapa ramai lelaki yang suka melihat yang tidak perlu, usha gadis di jalanan malah banyak sekali melayan video pornografi. Maka tepat, apabila lelaki diingatkan terlebih dahulu akan kewajiban ini. Inilah hijab buat lelaki. Mereka perlu conceal pandangan mereka. Pada masa yang sama Islam memahami betapa menariknya wanita pada pandangan mata lelaki, dan Islam menggariskan untuk mereka mengawal pandangan untuk memastikan perasaan mereka terjaga.

Kedua, peringatan yang sama juga Allah berikan kepada wanita dalam ayat 31 dan dilanjutkan dengan ingatan untuk menutup aurat. Nah, bukti sekarang ada di sekeliling anda. Antara lelaki dengan wanita, siapa yang lebih ramai gagal untuk memenuhi kewajiban menutup aurat? Sebab itulah Allah lampirkan dalam peringatan ini kepada wanita berkenaan aurat. Betapa berhikmah Allah dalam menurunkan ingatan. Diingatkan kepada lelaki terlebih dahulu untuk menjaga pandangan sebelum Allah mengingatkan kepada wanita dan mereka juga diingatkan berkaitan aurat mereka.

Sebelum saya pergi lebih jauh lagi, saya betulkan sedikit pemahaman saudara yang membaca terus 2 perenggan paling kanan secara bersambung dan membuat kesimpulan anda. Perenggan yang atas itu sedang menjelaskan bahawa lelaki juga mempunyai hijab mereka iaitu menjaga dan menundukkan pandangan. Islam memahami nafsu dan kehendak lelaki dan seterusnya memberi ingatan untuk menjaga perasaan.

Sedangkan perenggan yang kedua itu menjelaskan tentang hijab seorang wanita. Makanya ini 2 perenggan yang berbeza. Bukannya bermaksud wanita perlu berhijab sebagai symbol hormat kepada lelaki demi mendapatkan redha Tuhan. Saya kira ini salah faham kecil yang boleh kita perbetulkan. Pihak kami juga harus mohon maaf atas teks yang begitu ringkas itu. Namun saya harap penjelasan saya yang agak panjang lebar di sini boleh membetulkan semula pandangan saudara.

Berbalik semula kepada persoalan asas dalam soalan ketiga ini tentang benarkah wanita perlu buat lebih berbanding lelaki?

Kalau anda melihat dari segi kuantiti kain yang diperlukan untuk menutup aurat wanita sahaja, sudah pasti jawapannya ialah wanita kena buat lebih sebab perlu pakai kain yang lebih. Kerana aurat bagi wanita dan lelaki berbeza.

Lantas ada pula yang mengatakan kenapa aurat wanita dan lelaki dan kena lain-lain pula?

Mari kita lihat secara logic. Aurat lelaki ialah dari atas pusat sehingga bawah lutut manakala perempuan secara amnya seluruh tubuh badan kecuali kedua telapak tangan dan wajah. Sekarang ni cuba bayangkan kalau aurat wanita sama sahaja macam lelaki. Sudah, saya pasti anda akan mengatakan bahawa Islam ini agama yang gila. Masyarakat bukan Islam sekalipun tahu ada bahagian-bahagian sulit wanita berbeza dengan lelaki dan perlu ditutup. Malah wanita yang suka mendedahkan sana-sini dianggap sebagai tidak sopan. Lantas bila Islam menyuruh wanitanya untuk menutup aurat mereka dengan sempurna dianggap sebagai membebankan pula?

Saya yakin ada yang mempersoalkan kenapa rambut pun dikira sebagai aurat dalam Islam? Beginilah Islam sebuah agama yang sangat-sangat memuliakan. Hinggakan rambut wanita itupun, di dalam Islam dianggap sebagai sebuah bahagian yang sangat indah dan perlu dilindungi daripada pandangan umum. Begini sahajalah, beritahu saya wanita mana yang tidak merasakan bahawa rambut mampu membuatkan mereka jadi lebih menarik? Antara lelaki dengn wanita, siapa yang lebih sanggup untuk botakkan kepala? Sudah pasti wanita sangat-sangat menghargai rambut mereka. Dan begitulah juga Islam, agama ini menghargai rambut wanita dengan menjadikannya sebagai aurat, tersembunyi pada pandangan umum dan hanya dikongsi keindahannya dengan orang-orang yang istimewa pada dirinya.

Kenapa pula tidak boleh kalau aurat lelaki sama dengan wanita? Dalam soal ini, kita perlu melihat kepada fitrah. Lihat pada sejarah dahulu. Pernah pakaian lelaki dan wanita sama? Sehingga ke waktu sekarang ini pun, walaupun wanita sudah mula memakai seluar jeans dan juga t shirt, kita masih lagi boleh membezakan pakaian lelaki dan wanita. Kerana masing-masing memahami fitrah pakaian mereka. Takkanlah Islam sebuah agama yang memahami fitrah manusiawi akan mewajibkan sebuah perkara yang tidak masuk akal? Banyak juga aspek-aspek sains yang boleh menerangkan kenapa aurat lelaki dan perempuan berbeza.

 “Barang siapa mengerjakan amal soleh, baik lelaki mahupun perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya Kami akan memberikan balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang telah mereka kerjakan” (Al Nahl:97)

Jelas, lelaki dan perempuan dipandang secara sama rata dalam Islam dan Islam turut mengenalpasti perbezaan antara kedua-dua gender ini baik secara fizikal mahupun emosi.

Kalau boleh saya rumuskan, ini pula adab lelaki dan wanita dalam aspek pergaulan sesama mereka menurut Islam.

Adab yang perlu dijaga oleh lelaki dan perempuan :

Ucapan yang makruf (baik) dan sopan.
 Allah SWT telah menjelaskan di dalam Al Quran supaya kita mengucapkan kata-kata yang baik, kita ditegah sama sekali mengucapkan kata-kata yang janggal pada pandangan susila atau berbentuk 'flirting' (menggoda), gurauan, sendaan yang tidak bermanfaat dan sia-sia.

Menundukkan pandangan. Dalam surah an-Nur, terdapat perintah Allah SWT menyuruh lelaki dan wanita menundukkan pandangan masing-masing khususnya dalam suasana takutkan fitnah dan yang berbaur syahwat

Mengelakkan daripada berhimpit dan bersesak-sesak. Imam Bukhari meriwayatkan daripada Ummu Salamah bahawa Rasulullah SAW setelah memberi salam (solat) beliau tidak terus bangun. Ini untuk memberi peluang kepada wanita keluar dahulu.

Tidak berkhalwat (berdua-duaan). Imam Bukhari meriwayatkan daripada Ibnu Abbas bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Janganlah sekali kali seseorang lelaki bersendirian dengan seorang wanita kecuali jika ia muhrimnya.”

Menghindari tempat syubhah. Sabda Rasulullah SAW: “Tinggalkanlah perkara yang meragukan kamu…” (Riwayat Bukhari)

Adab khas untuk wanita :

Iltizam dengan pakaian Islam. Firman Allah SWT: “Wahai Nabi katakanlah kepada isteri dan anak-anak perempuan kamu supaya melabuhkan jilbab mereka.” (Surah Al Ahzab : 59). Dan firmanNya lagi: “Janganlah kamu berhias diri sebagaimana yang dilakukan oleh kaum jahiliyyah zaman dahulu.” (Surah Al Ahzab : 33)

Serius dalam ucapan, tidak ‘mengada-ngada’ atau bermanja-manja dalam percakapan. Firman Allah SWT : “Dan janganlah kamu merendahkan (melunak dan memanja-manjakan) percakapan (yang boleh menambat hati semasa bercakap dengan lelaki asing) sehingga boleh menimbulkan keinginan orang yang berpenyakit dalam hatinya (yang menyimpan niat buruk terhadap kamu), dan ucapkanlah perkataan yang baik (sopan).” (Surah Al Ahzab : 32)

Menjaga pergerakan tidak harus mereka memperlihatkan liuk lintuk dan lenggang lenggok yang menggoda. Firman Allah SWT: “Janganlah mereka menghentak kaki untuk menarik perhatian kepada perhiasan yang mereka sembunyikan.” (Surah An Nur : 31)
Kita melihat di sini, wanita mempunyai sedikit tanggungjawab khas dalam soal pergaulan. Pun begitu lelaki pula dalam aspek lain mempunyai tanggungjawab mereka juga. Seorang abang atau ayah perlu memberi keizinan kepada ahli keluarga wanita yang hendak keluar rumah. Semua ini sebab alasan untuk melindungi. Lelaki perlu tahu di mana keberadaan ahli keluarga wanita mereka atas dasar keselematan. Bahkan lelaki juga di dalam Islam akan dianggap berdosa seandainya isteri, anak perempuan atau adik perempuan mereka tidak menutup aurat dengan sempurna.

Kalaulah seandainya equality yang anda inginkan itu beerti wanita dan lelaki perlu memiliki tugas dan tanggungjawab dan kebebasan yang identical, dalam soal aurat dan pergaulan ini, ia bukan seperti itu. Masing-masing lelaki dan perempuan mempunyai peranan yang perlu mereka penuhi.

4.0   Tuntuntan Hijab Hanya Ketika Zaman Jahiliyyah

Saya sentuh sedikit sahaja tentang hal ini sebab saya ada nampak di bahagian komen status saudara bahawa perintah menutup aurat ini hanyalah untuk zaman Dark Ages dan masyarakat kini sudah mula berubah.

Balik kepada jawapan saya awal-awal tadi, wanita yang berhijb dikenal sebagai ‘afifah (terlindung) kerana pada zaman jahiliyyah kita lihat bagaimana wanita dianggap sebagai objek, dilacur dan didagangkan, seks luar nikah bebas sana sini, pergaulan melampau, bayi-bayi wanita di tanam secara hidup-hidup.

Sejarah membuktikan saat Islam hadir kebejatan social ini telah dihapuskan. Wanita diangkat dengan darjat yang amat tinggi. Saat pemerintahan Islam yang aman damai itu pun, wanita Islam masih lagi mengenakan hijab kerana memahami bahawa pentingnya hijab sperti yang telah dijelaskan.

Ini kan pula zaman sekarang di mana seks bebas makin teruk menjadi-menjadi, bayi luar nikah dibuang sana sini, wanita dijadikan symbol seks dengan pelbagai list wanita paling seksi atau most desireable woman, pornografi lagi pergaulan bebas tanpa kawalan ini. Adakah tidak sama perlakuan masyarakat zaman sekarang ini dengan jahiliyyah? Saya kira bahkan makin teruk. Maka takkanlah perintah mengenakan hijab pada zaman ini jadi tidak relevan pula.

Sekalipun masyarakat secara ajaibnya menjadi aman dan hilang segala masalah bejat social ini, sudah pasti aurat wanita masih lagi logic untuk dilindungi daripada pandangan umum dan hanya untuk dilihat oleh lelaki yang istimewa buat mereka sahaja, masih lagi relevan bukan?

5.0 Kesimpulan

Saya yakin ada yang ditulis di sini bukan seperti apa realiti umat Islam sekarang. Umat Islam sekarang masih lagi terlalu jauh jika hendak dibandingkan dengan ajaran sebenar Al Quran dan As Sunnah. Saya juga berimpian untuk suatu hari nanti agar umat Islam ini kembali sedia adanya kepada keindahan yang telah dianjurkan oleh agama ini. Justeru, ia bukan proses yang mudah tapi tidak mustahil. Sejarah telah membuktikan. Dan kita hanya perlu belajar semula daripada sejarah dan membina semula umat Islam yang memhami tuntutan syariat.

Sekali lagi terima kasih atas soalan-soalan anda. Saya juga kerana persoalan anda ini makin memahami kewajiban hijab di dalam Islam. Jawapan yang saya berikan ini, biarpun saya kira cukup panjang, masih lagi belum cukup komprehensif. Masih lagi punya cacat cela. Andai masih ada lagi persoalan-persoalan yang bermain di fikiran saudara, saya dengan senang hati boleh bertemu dan berbincang dengan lebih lanjut.

Begitu juga dalam jawapan ini, pada sesiapa yang membaca, saya mohon untuk refer lagi hal-hal ini kepada uztaz dan ilmuwan yang lebih pakar. Jangan jadikan saya sebagai satu-satunya rujukan anda.





Total Pageviews

Followers

Twitter

Be Likeable!

Fami-Liar's Posts

get this widget here

Writers of Life

Pages

Solat Time

Powered by Blogger.

Petikan Al-Quran

Popular Posts