Sunday, November 30, 2014

Dengan Nama Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani

Lama tak menulis. Dah berhabuk. Maaf. Ampun.

Jadi sebagai penutup kepada November, saya ambil izin buat comeback semula kepada blog ini.



Esok ialah hari penamaan calon-calon pilihanraya kampus UM, kalau warga UM, mereka panggil beberapa hari yang mendatang ni sebagai pesta demokrasi. Tempoh untuk berkempen, mengangkat pemimpin mereka supaya diberikan mandat untuk memimpin seluruh mahasiswa UM yang lain. Dan kalau anda semua nak tahu, pilihanraya di UM ni jiwa dia berbeza dengan IPT-IPT lain. Seolah-olah siapa yang menang di UM ni bakal memacu pentadbiran negara. Dahsyat betul sehingga ada isu-isu seperti calon hilang, kepala khinzir ditemui dalam surau, poster dijatuhkan, komputer lama dihempas dan dipecahkan, dan paling baru perarakan masuk DS Anwar Ibrahim ke Dewan Tunku Canselor berserta insiden pagar roboh dirempuh yang telah diputar-putar oleh media.

Fuhh... This is UM.

Tapi kebanyakan daripada insiden yang saya tulis tadi itu berlaku pada waktu lampau. Waktu tu, saya sendiri pun belum masuk UM lagi. Alhamdulillah, sejak saya bergelar mahasiswa dekat sini, secara umumnya politik kampus ni makin sihat dan segar, pada pandangan saya je la.

Saya masih ingat lagi pilihanraya pada sesi 2012/2013, waktu ni hanya 2 orang sahaja yang bertanding sebagai calon fakulti undang-undang, maknanya menang percuma kepada kedua-dua calon bebas ni Waktu saya masih freshman, saya hairan juga kenapalah fakulti ni bebas. Maksud bebas di sini ialah fakulti ini tidak menerima calon-calon daripada dua gerakan politik pelajar paling besar di UM, Penggerak Mahasiswa dan ProMahasiswa. Dalam bahasa moden, non partisan. Sampaikan warga UM yang lain panggil wilayah undang-undang ni sebagai Tanah Bebas. Bagi saya, mahasiswa di fakulti ini bukanlah bersikap non partisan. Ramai sahaja dalam kalangan kami yang memang aktif dan sebahagian sudahpun mempunyai pendirian sokongan kepada parti-parti politik di luar sana. Malahan isu-isu politik negara, polisi dan dasar memang menjadi bualan harian kami, sama ada dalam persekitaran yang santai mahupun serius.

Jadi kenapa, di sebalik tahap kesedaran yang tinggi ini, mahasiswa undang-undang begitu berat untuk menerima salah satu daripada gerakan politik pelajar sebagai perwakilan mereka. Jawapan yang temui ialah, dalam gerakan politik pelajar UM, terlalu banyak drama yang akhirnya tidak membawa sebarang kemajuan kepada pelajar.

Bila seseorang calon itu didokongi sebuah parti di belakang mereka, akhirnya kepentingan gerakan pelajar itu yang akan diketengahkan terlebih dahulu dan mahasiswa yang diwakili mereka sedikit terabai. Perkara ini bukanlah spekulasi saya semata-mata, saya akan jelaskan lagi selanjutnya nanti.

Kebetulan pada sesi ini juga, seorang wakil pelajar daripada Fakulti Undang-Undang, calon bebas, telah diangkat naik sebagai Presiden MPP UM. Sedangkan sebelum ini, presiden perwakilan mahasiswa ini akan ditentunkan oleh Penggerak Mahasiswa dan Pro Mahasiswa mengikut jumlah kerusi yang mereka perolehi. Bagaimana seorang calon bebas boleh diangkat sebagai seorang presiden? Kisah itu saya tidak mahu panjang-panjangkan, terlalu banyak versi, yang penting seorang mahasiswa daripada bebas telah diangkat untuk mengetuai gerakan kepimpinan mahasiswa paling besar di UM.



Pada waktu itu, saya percaya itu adalah langkah terbaik untuk kita membina student unity yang kita selalu laung-laungkan tu. Apatah lagi 'Student Power' merupakan agenda utama ProMahasiswa pada setiap pilihanraya. Tapi mana boleh wujud Student Power without Student Unity kan? Menyedihkan apabila kabinet MPP UM telah dibentuk, student unity ini gagal diwujudkan. Menurut Presiden pada tahun tersebut, macam mana nak capai student unity kalau perwakilan Pro Mahasiswa sering boikot mesyuarat? Kesetian tidak diberikan pada Presiden yang dipilih tapi kepada calon presiden daripada gerakan pelajar masing-masing?

Di sini, saya kecewa dengan sikap ProMahasiswa. Mungkin mereka boleh berkata, takhta presiden MPP UM telah dirampas oleh mereka kerana kerusi majoriti masih milik mereka. Dan perwakilan mereka juga telah diletakkan ke dalam exco yang tidak sepatutnya seperti 'Exco Budaya'. Pertamanya, perkara ini menimbulkan persoalan seperti adakah ProMahasiswa tidak boleh menerima kepimpinan lain? Maksud saya agenda studet unity ataupun student power ini akan terhenti sekiranya bukan mereka yang membentuk majlis tertinggi MPP UM. Kalaulah begitu sikapnya, saya kecewa. Kecewa kerana pada sangkaan saya perjuangan student unity ini adalah milik semua mahasiswa UM. Bukan eksklusif kepada ProMahasiswa semata-mata. Presiden pada tahun itu juga sudah bersedia untuk membentuk kabinet mahasiswa yang majmuk, gabungan antara Penggerak dan ProM. Tapi gagal, oleh sebab isu boikot mesyuarat. Bila kita boikot mesyuarat ni, apakah pada waktu itu atas dasar kepentingan mahasiswa UM atau sebab kepentingan gerakan politik pelajar atau sebab kepentingan peribadi? Sepatutnya ProM memainkan peranan yang lebih baik dalam menyebarkan agenda student unity. Kalaulah MPP UM itu tidak berjaya menjadi simbol kepada student unity, kita buatlah pilihanraya berapa kali pun, kita akan gagal juga.

Persoalan kedua, isu pemilihan exco? Saya hairan juga bagaimana ProM yang tidak rela diletakkan dalam exco budaya boleh diletakkan dalam exco tersebut pada mulanya? Adakah penentuan exco ditentukan oleh majlis tertinggi semata-mata tanpa sebarang suara atau pandangan daripada ahli majlis MPPUM yang lain? Bahagian ini saya tak tahu, maklumlah saya bukan seorang MPP. Kalau boleh, saya mohon penjelasan tentang pemilihan exco ini.

Persoalan ketiga, PRK UM, sebuah platform untuk memilih MPPUM yang baharu atau sebuah kempen untuk memilih samada Penggerak atau ProM sebagai pimpinan utama? Nampak macam dua perkara yang sama, tapi sebenarnya tidak. Sebab mahasiswa UM terlalu rakus dalam menyokong gerakan politik pelajar ini hingga akhirnya kita hanya mementingkan parti mana yang menang instead of siapa yang membentuk MPPUM. Bila ProM atau Penggerak berjaya menguasai kerusi, mereka meraikan kejayaan ini ke seluruh kampus dan akhirnya bila MPPUM dibentuk, lansung tidak ada sebarang ucapan tahniah walaupun MPPUM lah yang sebenarnya berjuang demi kebajikan mahasiswa, bukan gerakan politik pelajar ini. Sebab itulah pada hemat saya, silakanlah mempunyai perbezaan ideologi dalam bentuk Penggerak atau ProM, tapi sebaik sahaja MPPUM terbentuk, marilah kita tumpukan kesetiaan kepada mereka, curahkan kerjasama, tidak kira siapa pun yang membentuk kabinet mahasiswa ini kerana dengan sikap ini barulah boleh kita secara berterusan meneruskan agenda student unity dan student power.

MPPUM adalah sebuah badan pelajar yang unik dan penuh potensi. Tapi kepimpinan saban tahun akan berubah. Tempoh 2 semester memimpin tidak akan cukup untuk mencapai agenda. Apatah lagi pada sesi-sesi yang akan datang ideologi pimpinan mungkin berubah, maka perjuangan untuk student unity tidak mempunyai nilai sustainability. Maka sebab inilah, mahasiswa UM perlu mempunyai satu fahaman atau nilai yang perlu dikongsi bersama disebalik segala perbezaan kita. Dan nilai tersebut ialah "Pemimpin kita adalah MPPUM, bukan Penggerak ataupun ProM"

Amat mengecewakan sebenarnya apabila kita sedang menuju ke arah musim PRK yang baru, setiap blok, akan menceritakan apakah usaha dan kejayaan MPP daripada gerakan pelajar mereka sedangkan usahan setiap MPP ialah usaha kolektif daripada MPPUM. Agaknya sikap MPP yang tidak sedar bahawa mereka sedang mewakili mahasiswa UM, bukan Penggerak atau ProM, yang mengakibatkan mereka lupa bahawa mereka kini MPP milik mahasiswa UM, bukan milik parti pelajar mereka.

Persoalan saya yang terakhir dalam isu ini, apakah fungsi calon kawasan umum. Di UM kita mempunyai 4 kawasan umum. Dan setiap kawasan mempunyai 2 kerusi. Sangkaan saya, calon umum yang menang inilah yang akan membentuk majlis tertinggi MPPUM, tapi tidak sebenarnya. Tempat majlis tertinggi boleh diisi oleh sesiapa sahaja. Jadi apakah nilai seorang MPP kawasan umum? Sedangkan dah 2 PRK UM telah saya tempuh, pada kedua-dua sesi, hanya pada musim kempen sahaja saya pernah melihat calon umum kawasan saya. Selepas itu, entah lesap ke mana?

Hal-hal diatas banyak berkisar tentang kritikan saya mengenai atitud gerakan ProM pada tahun tersebut serta beberapa isu MPPUM yang saya kira perlu kita baiki.



Seterusnya saya nak menukilkan sedikit tentang Penggerak Mahasiswa. Gerakan pelajar yang ditohmah sebagai pro HEP. Proksi Barisan Nasional kampus. Dan begitulah sebaliknya ProM digelar proksi Pakatan Rakyat. Tapi secara peribadinya lah saya melihat ProM lebih kepada struktur BN sebenarnya. Mereka ada komponen lain khas untuk mahasiswa bangsa cina, UMANNY. Mungkin mereka ada sebab mereka sendiri atas pembentukan ini, tapi saya lebih suka andainya mereka semua boleh bergabung pada satu payung yang sama. Sebab agenda ProM kan ialah 'Kebersamaan'. Maka bersamalah terlebih dahulu bawah satu nama yang sama.

Tentang Penggerak Mahasiswa, sejujurnya pada tahun pertama pengajian saya, saya mengikuti secara rapat gerakan ini. Malah saya juga terlibat secara langsung dalam usaha kejenteraan mereka. Hal ini kerana saya mengikut ajakan senior daripada alma mater saya yang pada waktu itu merupakan Presiden Kolej Kediaman saya.

Minggu Haluan Siswa adalah medan doktrin Penggerak Mahasiswa. Saya berani mengatakan sebegini. Doktrinisasi tidak perlu hadir dalam bentuk yang jelas, cukup sekadar ia datang dalam persekitaran yang mempengaruhi. Pada zaman freshman saya, saya yakin masih berterusan sehingga kini, Pemudahcara Mahasiswa (PM) Sentral, ialah milik penyokong-penyokong Penggerak Mahasiswa. Kalau tidak takkanlah simbol PM Sentral itu sendiri menggunakan motto Penggerak Mahasiswa, UM is One. Kalau tidak takkanlah kami mahasiwa tahun pertama kita itu diajar untuk melaungkan cheers rasmi UM yang diakhiri dengan 3 kali laungan UM is One? Dan ada sahaja PM yang menggenakan baju Penggerak Mahasiswa sepanjang sesi MHS.

Selesai MHS, beberapa pelajar mula direkrut untuk membantu usaha-usaha kejenteraan Penggerak. Saya antara mereka yang dipilih. Saya telah diberikan beberapa lampiran untuk diedarkan. Antaranya ialah poster calon-calon, gambar-gambar ikon mereka, propaganda kejayaan Penggerak Mahasiswa. Okay, semua ini saya boleh terima lagi dan saya bantu juga edarkan kepada yang terdekat. Sebab bagi saya ini bukan masalah, mereka perlu untuk mempromosikan calon mereka. Sampai sekarang ni pun kalau ada ProM atau Penggerak bagi flyers, saya ambil sahaja. Menghormati usaha mereka. Tapi perkara yang buat saya kurang senang ialah beberapa lampiran poster yang jelas menuduh, memfitnah dan memburuk-burukkan gerakan ProM. Antaranya ialah poster ProM = ProMenipu. Saya tidak boleh menerima pendekatan politik yang sebegini. Apatah lagi bila kononnya politik UM ialah arus baharu kepada politik negara yang lebih baik. Tapi perangai masih sama dengan politikus di luar sana. Terus bila saya dapat poster-poster yang berbentuk sebegitu, saya campakkan terus dalam tong sampah. Kertas-kertas sebegitu tidak layak untuk menerjah pemikiran mahasiswa. Memalukan.

Saya juga terlalu kecewa dengan sikap Penggerak Mahasiswa. Sehingga ke insiden terbaru sewaktu Debat Perdana Presiden, mereka menyebarkan flyers fitnah bahwa moderator bias. Membawa sepanduk yang mencerca majlis. Sedangkan Yang Di Pertua anda sendiri menegaskan nilai Penggerak Mahasiswa ialah pada Ilmu, Amal dan Adab. Mana dia adab penyokong Penggerak pada waktu itu? Kalau betul moderator bias, kenapa tidak ada bantahan sebelum itu? Lepas tu bukti bias yang boleh anda kemukan hanyalah moderator ada bergambar dengan saudara Fahmi Zainol? Lah, kalau macam tu siapa je yang tak bias dalam dunia ni? Sebab saya yakin semua daripada kita ada kawan-kawan daripada kalangan Penggerak atu ProM. Mengecewakan.

Say juga pernah mempersoalkan benarkah Penggerak ini bersama HEP? Jawapan mereka tidak tetapi sebaliknya. Maksudnya HEP yang bersama mereka. You know what, jawapan ni doesn't make sense at all. Isu tentang Penggerak Mahasiswa bersama HEP ini saya akan jelaskan lagi dalam bahagian kedua, sewaktu saya juga bertanding sebagai seorang calon.

Secara umumnya, Penggerak bangga bahawa mereka tidak memilih jalan demonstrasi tetapi diplomasi menjadi keutamaan. Tetapi daripada trend pilihanraya mereka saya melihat, fitnah dan provokasi ialah budaya sebati mereka. Tapi ini pada sesi 2012/2013. Mungkin sekarang dah ada perubahan. Betul atau tidak, anda nilailah sendiri.

Bahkan pada sesi ini, disebabkan Penggerak Mahasiswa menguasai MPPUM, habis semua kejayaan atau usaha MPP yang diketengahkan hanya daripada blok Penggerak Mahasiswa. Pengumuman yang sepatutnya dilakukan oleh MPPUM pun, Penggerak tolong buatkan. Dan bila MPP mereka melaksankan sesuatu mereka tidak akan lupa meletakkan ayat "MPP Penggerak Mahasiswa". Sebab itulah saya jadi kurang senang dengan pendekatan ini. Akhirnya mahasiswa UM melupakan MPPUM dan sibuk bergaduh antara Penggerak atau ProM, siapa lebih baik. Hal yang sama turut berlaku pada pada pentadbiran ProM pada sesi 2013/2014 yang saya akan jelaskan pada bahagian lain.

Akhirnya atas perkara-perkara yang berlaku sepanjang sesi ini di antara Penggerak mahupun ProM, saya mula memahami prinsip non partisan yang dipegang oleh Fakulti Undang-Undang. Kalaulah Student Unity yang ingin dicapai oleh mahasiswa UM, anda pasti boleh belajar sesuatu daripada Fakulti kecil di pintu masuk ini. Bagaimana MPP bebas mempunyai kebolehan yang jelas dalam memimpin golongan mahasiwa undang-undang. Sebab bila tidak ada parti yang menunjangi mereka, maka segala usaha, idea, dan gerakan adalah penuh khas buat mahasiwa yang mereka wakili. Bagi saya fakulti undang-undang adalah bukti jelas Student Unity dan Student Power. Beberapa bukti ialah contohnya anjuran Program Solidariti untuk Prof Azmi oleh MPPUM, tidak mendapat tentangan walaupun bukan semua mahasiswa undang-undang pada ketika itu mempunyai ideologi yang berbeza. Tapi kebersamaan dalam perjuangan itu mereka raikan kerana memegang kepada nilai prinsip kebebasan akademik yang sama. Bahkan turut disertai bersama-sama dengan pensyarah lagi. Student Power mereka jelas anda boleh lihat sendiri dalam proses AGM Law Society, di mana mahasiswa undang-undang benar-benar melihat dan menilai kepimpinan pelajar mereka dan pimpinan pelajar mereka pula bersedia untuk memberikan yang terbaik serta dikritik untuk berubah ke arah yang lebih baik. Kalaulah AGM Law Society terbuka untuk semua, anda datanglah dan lihatlah sendiri.

Banyak lagi isu-isu PRK yang saya ingin komen dan kritik, tapi cukuplah beberapa perkara ini untuk bahagian yang pertama. InsyaAllah saya jelaskan dengan lebih terperinci dalam bahagian seterusnya. Tujuan tulis ini tidak lain tidak bukan adalah untuk menyebarkan kesedaran kepada mahasiswa lain tentang politik kampus kita. Samada kita hanya bermain secara retorik atau sebenarnya kita betul-betul sedang berusaha ke arah era yang lebih baik.

Dalam bab selanjutnya saya sentuh mengenai isu mansuh AUKU, Pengalaman Pilihanraya saya sendiri, serta isu-isu semasa pimpinan PMUM 13/14.

Wassalam.
Moga bermanfaat.

Ditulis dengan harapan oleh,
Ahmad Azri Abdullah
Mahasiswa Tahun 3 Fakulti Undang-Undang

Total Pageviews

Followers

Twitter

Be Likeable!

Fami-Liar's Posts

get this widget here

Writers of Life

Pages

Solat Time

Powered by Blogger.

Petikan Al-Quran

Popular Posts