Tuesday, February 18, 2014

Dengan nama Tuhan Yang Maha Mengampuni lagi Maha Memudahkan segala sesuatu.

Maaf. Banyak tertangguh jadual penulisan di blog hijau ini.

Alhamdulillah, Allah beri banyak kesulitan supaya diri ini faham dan menghargai erti sebuah kesenangan kelak, insyaAllah.

Baru-baru, saya ada membaca sebuah entry di blog mega hebat tulisan Inche Gabbana. Entry beliau, "Di Bawah Mentari Usrah", anda boleh baca di sini, secara umumnya membincangkan keadaan bahawa walaupun realiti hidup berusrah itu indah dan amat mempersonakan, namun hakikatnya tidak semua sebenarnya sesuai hidup berusrah. Tidak semua sesuai apatah lagi bersedia untuk menghadiri setiap sesi bulatan gembira, konferens kebahagiaan ataupun seminar kegemilangan itu. Tidak semua.

Kerana apa?



Mungkin kerana faktor diri, keluarga, ekonomi, pendidikan dan juga perasaan alergik yang menebal terhadap istilah arab seperti 'usrah' itu sendiri. Bahkan saat membaca entry tersebut saya jadi teringat kepada kata-kata naqib saya sewaktu saya sendiri merasakan bahawa mad'u saya ketika jatuh dalam kategori tidak sesuai hidup berbulatan gembira. Naqib saya kembali bertanya,

"Untuk apa sebenarnya kita join usrah ni? Untuk apa sebenarnya perjuangan mereka yang sibuk bawak usrah sana-sini, dakwah tanpa henti dan tarbiyyah syok bersama ni?"

Satu soalan yang ringkas yang perlu ditanyakan semula buat mereka semua yang berkeyakinan tinggi dengan manhaj yang dibawa ini. Jawapan naqib waktu itu juga mudah.

"Untuk bawa mereka semua kepada Islam yang sebenar, kembali menuju Allah"

Nampak tak betapa jelas dan padatnya jawapannya di situ?

Hakikatnya ramai daripada kita tersilap. Bila kita melaksanakan dakwah dan tarbiyyah, dengan semangat juang yang tingginya melakukan dakwah fardhiyyah kepada hampir semua orang yang kita kenal, rupa-rupanya para daie, ikhwah dan akhawat pada hari ini terlupa kepada tujuan asal mereka.

Tujuan asal dakwah tarbiyyah tak pernah berubah. Tetap ingin menarik umat manusia kembali kepada cara hidup (ad deen) Islam yang sebenar. Kembali menuju Allah.



Tapi para ikhwah dan akhawat seakan terlupa. Akhirnya tujuan dakwah fardiyyah yang dijalankan ialah untuk meramaikan lagi ahli bulatan gembira mereka. Seolah-olah jumlah usrah yang dibawa ataupun saiz usrah mereka yang jumbo dan mega itu menjadi KPI untuk diukur sejauh manakah keberjayaan perjuangan tarbiyyah mereka.

Mungkin kerana terlalu asyik dengan manisnya ukhuwwah sampai terkadang buat pada daie hilang arah?

Bukan sekali ataupun dua kali saya mengalami sendiri keadaan di mana apabila seorang mad'u itu gagal di'bulatan'kan untuk usrah bersama, maka mad'u itupun terus diabaikan. Saya yakin dan percaya, terkadang bukan kerana mad'u itu tidak tersentuh hatinya, bukan mad'u itu tidak mahu melihat bersama Islam itu kembali gemilang, bukannya mad'u itu tidak mahu mencapai ustaziyatul alam, dan pasti sekali bukan kerana mad'u anda itu tidak mahu berpimpinan tangan menuju ke syurga nan luas itu. Yang mad'u itu hanya keberatan ialah pada frasa perlu 'berbulatan gembira' itu.

Mungkin kerana dia tidak mampu untuk komited. Mungkin juga kerana sebab-sebab lain yang amat-amat tidak dapat dielakkan. Mungkin juga kerana dia berasa selesa dengan anda 'begitu sahaja'.

'Begitu sahaja'? Maksudnya?

Maksudnya... Saya amat yakin bahawa sebelum setiap usrah itu bermula pasti dan pasti usaha untuk meyemai rasa ukhuwwah dan cinta itu dibuat dengan amat rancak. Selalu solat bersama, keluar makan bersama, selalu bertanya khabar, keluar bersama, study bersama, beriadah bersama dan semuanya kalau boleh hendak bersama. Akhirnya mad'u itu jadi selesa dan jatuh cinta dengan anda. Rasa ukhuwwah itu semakin mengerat. Rasa sangat boleh menerima segala nasihat dan pandangan anda.Sehinggakan kalau ketika sedang bermain futsal dan anda menyampaikan erti shahadatul haq kepadanya pun dia boleh menerima dan menelannya bulat-bulat. Begitu sekali tsiqah yang anda telah mampu bina sebelum menarik mereka ke dalam sebuah 'bulatan' gembira.

Dan ketika anda menghulurkan tangan, dengan senyuman paling menawan, untuk mengajak mereka untuk ber'bulatan' bersama, mereka menolak kerana keberatan untuk ber'bulatan' itu. Bukanyya kerana mereka tidak meyakini akan fikrah yang anda ingin bawa dan semaikan. Mereka percaya dan bahkan rasa lebih selesa andai fikrah itu disemai dengan cara 'begitu sahaja', ketika makan ataupun waktu bermain futsal.

Akhirnya, disebabkan ikhwah dan akwahat sedia ada terlalu sibuk untuk meramaikan dan memeriahkan lagi bilangan ahli usrah mereka, maka mereka pun terlupa tujuan utama. Maka, mad'u yang keberatan untuk berusrah ini pun jadi terabai tarbiyyah untuk mereka.

Dan akhirnya para ikhwah dan akhawat melahirkan fenomena baharu; Usrah itu Bulat.

Sedangkan bukan itu hakikatnya...

Hakikatnya usrah itu tidak mewajibkan kita untuk bertemu setiap minggu, duduk dalam sebuah bulatan. Bahkan usrah boleh jadi empat segi, tiga segi, bujur atapun sebuah garisan lurus.

Bermain futsal bersama. itu boleh jadi sebuah usrah.

Makan bersama, itu juga boleh menjadi usrah.

Berkhemah dan memasak ayam panggang di tepi sungai, itu juga boleh jadi usrah

Belajar di library law bersama, usrah juga itu.

Asalkan daie itu amat pandai dan cermat dalam menyemai fikrah. Usrah bukan sebuah perkara yang rigid. Ia amat mudah kerana ia sebahagian daripada fitrah. Saya pinjam kata-kata penulis buku 'Usrah, Ini Semua Poyo', "Dakwah ialah seni memikat hati"

Cuba kita kembali fikirkan bersama adakah hanya kita kita yang setiap minggu menghadiri bulatan gembira ini yang menjadi penggerak kepada revival ummah? Muliakah kita yang berusrah ini berbanding mereka yang tidak?



Saya tegaskan semula, saya sendiri juga mengikuti dan menghadiri sesi bulatan gembira. Tidak pernah saya ragui kerana sistem usrah yang menyediakan platform untuk follow up dalam kalangan usrahmates. Namun tidak semua daripada kita sesuai dalam keadaan begitu.

Nasihat saya buat diri sendiri dan para ikwah dan akhwat yang lain, jangan sampai kerana kita asyik mengejar ahli bulatan gembira sehingga akhirnya hak tarbiyyah mereka yang lain jadi terabai... Usrah itu tidak bulat.

Dan, tidak mahu berusrah sekarang bukan ertinya tidak mahu berusrah buat selama-lamanya. Doakan kita bersama.



"Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah dan carilah wasilah (jalan) untuk mendekatkan diri kepadaNya, dan berjihadlah di jalanNya, agar kamu beruntung"
[Al Maidah 5:35]

Wassalam...

Total Pageviews

Followers

Twitter

Be Likeable!

Fami-Liar's Posts

get this widget here

Writers of Life

Pages

Solat Time

Powered by Blogger.

Petikan Al-Quran

Popular Posts