Monday, December 9, 2013

 10:21 AM   Anonymous   , ,    1 comment


"Akh Shahrul tu lawyer ye Kak Anis?"

"Haah"


"Syariah?"


"Tak... Dia lawyer civil. Dengar cerita hebat dalam bidang jenayah. Akh tu takde lulusan shariah pun rasanya..."


"Erm..."


"Kenapa Sarah? Awak rasa tak selesa ke dengan latar belakang pendidikan dia? Sebab dia peguam sivil eh?"


"Bukan macam tu Kak Anis... Zalim kalau saya menghukum seseorang berdasarkan pendidikan dia. Cuma..."


"Cuma apa Sarah?"


Anis tersenyum melihat telatah anak usrah di hadapannya sekarang. Muka merah padam. Tak senang duduk. Gelisah. Anis faham benar perasaan Sarah. Dulu dia pun pernah berada di tempat itu.

"Bukan sebab Akh Shahrul tu lawyer akak... Saya ni, masih terkejut lagi. Rasa macam tak percaya apa yang akak kata tadi. Saya perlu masa sangat nak hadam hakikat bahawa ada ikhwah yang masuk melamar saya ni... Apatah lagi dengan keadaan saya ni yang baru je graduate. Baru je meninggalkan dunia universiti yang maha busy tu. Baru nak bernafas sekejap. Baru je nak tumpu betul-betul dekat Dakwah & Tarbiyyah. Saya ni fresh lagi akak... Lagi 3 bulan lagi dah nak kena posting ke mana-mana hospital yang belum tentu lagi di ceruk mana... Housemanship ni bukan tempoh yang mudah akak.. Saya akan jadi lebih super busy nanti.. Saya rasa macam tak ready sangat..."

Anis tersenyum lagi. Selama ni Sarah tidak pernah menggunakan alasan 'busy' atau sibuk untuk mengelak hadir ke usrah ataupun daurah. Bahkan ramai akhawat yang lain kagum dengan keazaman serta komitmen Sarah dalam dunia tarbiyyah. Tuntutan sebagai pelajar medic hampir sahaja menuntut segala masa yang Sarah ada. Tapi sempat je dia cari waktu untuk hadir ke bulatan gembiranya. Malah Sarah antara akhawat yang paling banyak membawa bulatan usrahnya yang tersendiri. Sarah memang qowiyy. Komited di jalan dakwah. Cuma kali ini, bila Sarah dilamar untuk mendirikan 'Baitul Muslim' itu, menghidupkan rumahtangga, dengan pantas Sarah menggunakan alasan busy. Busy menjadi escapism.

"Hehe... Akak rasa kesian tengok Sarah ni. Merah padam muka tu dari tadi tak berhenti lagi kan? Kuat blushing jugak eh Sarah ni... Baik, biar akak betulkan semula statement akak tadi ye. Lamaran daripada Akh Shahrul ini pun disampaikan melalui naqib dia. Dan semalam, barulah berita ni sampai pada pengetahuan akak. Menurut naqib dia, Akh Shahrul tak memaksa... Malah dia minta untuk tanya tentang kesediaan Sarah dulu... Dah ready ke belum Sarah ni nak kahwin, kalau belum sedia lagi, akh tu tegaskan yang dia memang tak memaksa atau dalam keadaan terburu-buru. Sekarang ni akak nak tanya, Sarah memang tak ready dan tak boleh ye?"

"................."


Senyap. Diam yang cukup awkward.

Sarah membisu. Diam. Kali ni dia tak tahu apa respon terbaik yang perlu dia beri.

"Amboi Doktor Sarah ni... Tadi bukan main kata busy lah, sibuk lah, tak ready semua... Tapi bila akak minta kepastian, Sarah tak tahu nak kata apa ye?"

Anis terus mengusik anak usrahnya itu. Sarah senyum. Rasa malunya waktu itu hanya Allah je yang tahu.

"Jangan risau Sarah... Dulu akak pun pernah berada dalam situasi Sarah ni... Mulanya pun memang akak rasa macam tak ready sangat. Rasa macam terlalu awal lagi untuk akak sibuk-sibuk fikir pasal kahwin ni. Tapi alhamdulillah, lepas akak isthikarah, minta petunjuk daripada Allah, Dia bagi kemudahan buat akak. Waktu tu akak lanjutkan je ke proses ta'aruf dgn Abang Nasriq tu. Entah kenapa, bila jumpa bakal zauj akak tu, bila dengar kata-kata waktu ta'aruf, hati akak terus jadi yakin untuk mendirikan rumahtangga dengan dia. And Alhamdulillah, now we are happily in love. Hehe."

Sarah geram sangat dengan Anis. Geram sebab naqibah dia yang seorang ni memang senang je usik-usik dia. Sarah sedia maklum, Abang Nasriq dengan Kak Anis memang contoh perkahwinan ikhwah akhawat yang berjaya.

"Nasihat akak, lanjutkan je dulu dengan proses ta'aruf tu. Kenal dan dapatkan maklumat terbaik tentang Akh Shahrul tu. Kalau lepas tu pun Sarah masih ragu-ragu, takpe... Sekurang-kurangnya boleh bina sillahturrahim... Ini pandangan akak je tau... Yang nak menempuhi perkahwinan tu nanti Sarah juga... Doa banyak-banyak dekat Allah, moga Dia pandu hati Sarah betul-betul..."

"Jazakillah kak... Saya serahkan semua urusan dekat Allah... Tapi akak..."


"Tapi apa lagi Sarah?..."


Anis terus menduga lagi kegusaran yang sedang bermain-main dalam hati Sarah.

"Sejujurnya kak, saya tak pernah terbayang berkahwin dgn seorang lawyer. Saya rasa pelik sangat. Dan honestly, ini baru beberapa kali je saya terdengar tentang ikhwah daripada golongan lawyer civil ni. Saya tak pernah pulak dengar cerita ada ikhwah super qowiyy yang berkerja sebagai lawyer. Belum pernah dengar ada lawyer yang bawa 2, 3, 4, bulatan usrah... Semua ni buat saya mempersoalkan masa depan baitul muslim yang bakal dibina ni. Saya ni pun Doktor, kak... Sangat sibuk nanti... Dan Akh Shahrul tu tentu sibuk nak baca kes dia hari-hari nanti... Ikwah lawyer ni memang rare sangat akak... Susah nak jumpa..."

"Sebab ikhwah lawyer rare lah awak kena terima lamaran ni Sarah... Untung dapat zauj lawyer... Hehe"


Anis rancak mengusik Sarah. Sarah jadi hilang hujah bila berhadapan dengan wajah naqibah dia ini. Redup wajah Anis selalu menenangkan Sarah. Kali ni, Sarah cuma senyum dan bagi respon yang singkat, "Untung la sangat..."

"Sarah ada nak tanya apa-apa lagi?"

"Erm... Rasa macam takde dah kak.... Biar Sarah mengadu semua ni dekat Allah dulu. Tak nak soalan-soalan Sarah nanti beri kesan pada hati Sarah pulak. Takpe... Kalau ada nanti, saya tanya waktu ta'aruf nanti. Haha."


Sepanjang berbicara tentang soal kahwin ni, ini baru pertama kali Sarah bergurau. Sarah teringin nak melihat reaksi Anis selepas melemparkan statement boleh tanya waktu ta'ruf tu tadi.

"Oooooo.... Jadi Sarah dah ready lama dah rupanya untuk berkenalan dengan Akh Shahrul ni... Haha"

"Hehe. Bukan la kak... Saje je... Nak buat akak excited sikit. Biar saya istikharah dulu. Doakan saya jugak kak..."


"InsyaAllah... Sarah sentiasa dalam doa akak..."


"Saaaaayyyyyyaaaannnnggggg akak..."


"Akak pun sayang kamu jugak Sarah, lillah..."


"Erm.... Kak Anis... Akh Shahrul tu graduan daripada universiti mana eh?"


"Ouh... Sama dengan kamu Sarah..."


"Hah? Sama dengan Sarah? Maksud akak Akh Shahrul tu graduate daripada Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya ke?"


Sarah menyoal. Kali dengan nada yang separuh terkejut dan separuh ragu.

"Haah... Kenapa je?"

"Allah...."



*********



Shahrul membelek fail di atas mejanya. Di buka satu persatu helaian dokumen hitam putih. Hambar. Entah kenapa hari ni di seperti hilang semangat untuk menguruskan segala kes yang menggunung. Kalau hari-hari sebelum ini, kes-kes jenayah terutamanya menjadi bahan bacaan utama untuk dia. Bahkan sebaik sahaja sarapan pagi, pasti tangannya menyambar kes untuk dibaca. Sungguh, Shahrul terlalu cinta dengan kerjanya. Terlalu asyik dengan laporan-laporan kes lampau. Baginya, kes-kes yang lalu itu merupakan sejarah tingkahlaku manusia. Laporan kes jenayah itu semuanya jelas menceritakan perihal manusia apabila agama dipisahkan terus daripada hatinya. Bunuh, rompak, rogol, ragut, pecah amanah, itu semua bukan sifat fitrah manusia. Apabila dicabutkan rasa ketakutan kepada Yang Maha Esa, maka manusia mula berani. Mula berani bermain di tepi jurang neraka. Dan kezaliman dan penganiyaan mula bermaharajalela. Setiap satu kes yang dibacanya punyai ibrahnya yang tersendiri. bagi Shahrul, definisi jenayah itu perlu diperluaskan lagi. Sekiranya jenayah boleh difahami sebagai segala perbuatan yang bertentangan dengan undang-undang serta hukum norma kemanusiaan, maka semua bentuk kemungkaran juga adalah jenayah. Kerana mungkar pada hari ini adalah segala perbuatan yang bertentangan dengan peraturan dan hukum hakam Allah.

Tetapi tidak untuk hari ini. Hari ini kes-kes yang dibaca dihadapannya dirasakan kering. Bosan dan memenatkan. Shahrul memerhatikan sekitar pejabatnya. Sang secretary sedang sibuk menaip. Sibuk menaip status FB mungkin, sebab seingat Shahrul tugasan terakhir yang diberi kepada Mak Cik Jemah, telah diberi 3 jam yang lalu. Mustahil belum siap lagi. Entahlah. Shahrul takde mood untuk 'mengacau' satu-satunya staff di firma miliknya sendiri. Firma milik Shahrul. Baru dibuka tahun lepas.

Firma Guaman miliknya kecil, terlalu kecil kalau nak dibandingkan dengan firma lain. Tetapi rezeki itu tetap daripada Allah, tidak kira besar atau kecil saiz pejabat hambaNya. Kes yang diterima tidak pernah putus. Bahkan makin bertambah setiap hari. Shahrul tak pernah merungut dengan lambakan kes yang diterima, terkadang dia berikan khidmatnya secara percuma. Niat Shahrul hanya untuk membantu, ikhlas. Hendak melihat keadilan itu tercapai. Cuma sedikit rasa kesal dalam dirinya, banyak kes yang dia terima ialah kes-kes jenayah. Sehinggakan ada di antara clientnya yang menyangka Shahrul specialist dalam bidang jenayah. Dia memang minat dengan hal-hal jenayah, tapi pada masa yang sama, dia teringin juga mencuba kes-kes yang berbeza.

Shahrul memrhatikan jam di atas mejanya. Dia bersandar. Memalaskan diri pada kerusi pejabatnya.

"Kenapalah hari ni rasa macam lambat sangat masa ni bergerak?" gumam hati Shahrul. Shahrul makin tak senang duduk. Ditutupnya segala dokumen dan kes di atas meja. Dikemasnya meja itu. Shahrul bangkit dan berjalan lenggang ke ruang wudhu' firmanya. Entah, bila hati dia gundah, maka Al Quran kesayangannya pasti jadi peneman. Dalam perjalanan pulang semula ke pejabatnya bertemankan air wudhu', Shahrul melintas di sebelah Mak Cik Jemah.

"Mak cik main FB eh? Hehe. Bila Mak Cik Jemah nak add saya dekat FB ni? Haha."

Terkejutnya secretary Shahrul, tak perlu nak ceritalah. Dekat 3 minit juga Mak Cik Jemah melatah. Shahrul senyum. Tak pernah dia nak marah. Lagipun, hari ni dia sendiri pun kurang mood. Tak terasa untuk berkerja.

"Lamanya mak cik melatah... Saya rasa kesian pulak. Saya tak sengaja nak sergah mak cik tau. Cuma dari tadi saya nampak mak cik asyik khusyuk menaip je. Saya nak tengoklah mak cik rajin sangat buat kerja apa. Haha. Takpe... Sekarang ni saya nak baca Al-Quran jap. Kalau ada any calls, client ke, mak cik tolong entertain diorang jap ye?"

Ditinggalkan arahan ringkas buat setiausahanya. Dibukanya perlahan-perlahan Al Quran miliknya. Quran besaiz mini colour purple. Dibukanya lembaran pertama. Diamati tulisan pen dakwat hitam yang berbekas atas lembaran itu sejak hari pertama Al Quran itu menjadi miliknya.

'Khas dan istimewa buat ikhwah kesayangan, Shahrul Aizat Bin Ahmad. Moga sentiasa kuat dalam melangkah. Moga terus tsabat atas jalan ini'

Itu tulisan naqibnya yang pertama. Kata-kata ringkas yang membuatkan dia jatuh cinta pada jalan dakwah & tarbiyyah. Beberapa kali dah sejak dia menjebakkan diri dalam 'Konspirasi Menuju Syurga' ni, Shahrul terasa nak give up. Rasa nak berehat panjang daripada kerja menyelamatkan ummah ni. Tak lama untuk Shahrul faham kenapa abang usrahnya mendoakan dirinya diberikan kekuatan dalam perjalanan ini. Sebab jalan ini terlalu panjang. Dan mereka yang lemah pasti akan rebah. Hanya kekuatan yang dipinjamkan oleh Allah yang mampu memacu diri ini untuk terus bersama gerabak dakwah ini.

Dibacanya ayat-ayat Allah itu dengan nada yang sederhana. Cukup untuk dia dengari sendiri.Terasa perasaan gundah gelana, gelisah dan tidak tenang tadi mula meninggalkan dirinya perlahan-lahan. Ayat-ayat Quran itu seolah memujuk hatinya sendiri, membersihkan segala kotoran yang ada pada diri. Shahrul terhenti pada sebuah ayat, cukup relevan dengan keadaan dirinya sekarang.

“Itulah kamu! Kamu berdebat untuk (membela) mereka dalam kehidupan dunia ini, tetapi siapa yang akan menentang Allah untuk (membela) mereka pada hari kiamat? Atau siapakah yang menjadi pelindung mereka (terhadap azab Allah)?”
[Al-Nisa’ 4:109]

Allah.. Sentap yang dirasa dalam hati Shahrul, hanya Allah sahaja yang dapat memahami. Dia menilai semula keadaan dirinya. Sudah beberapa tahun bergelar seorang peguam. Hidup berdebat mempertahankan klien sana-sini. Naik turun mahkamah setiap hari. Semuanya dia niatkan demi keadilan. Pernah satu ketika, Shahrul betul-betul percaya dengan slogan mereka yang bergelar lawyer ni, ‘Keadilan Melalui Undang-Undang’. Tetapi setelah lama di dalam gerabak tarbiyyah, Shahrul mula faham, keadilan itu takkan pernah tercapai melalui undang-undang selagi manusia masih bergantung dengan undang-undang manusia dan tidak berpaksikan undang-undang Allah semata-mata.

Ayat tadi benar-benar membekas dalam hatinya. Selama ini dia berhempas-pulas mempertahankan kliennya di depan hakim. Memastikan kliennya mendapatkan keadilan dan layanan yang sewajarnya. Sanggup dia terkadang bertikam lidah dengan pihak lawan, semuanya demi menegakkan kebenaran. Shahrul tidak pernah berasa seronok bila diletakkan dalam proses ‘litigation’. Membentangkan kes di hadapan hakim bukan perkara yang kecil dan main-main, yang sedang dibacarakan ialah soal masa depan mereka yang dituduh. Suasana dalam mahkamah memang sentiasa tegang.

Ayat tadi menerangkan dan mengingatkan semula hakikat kepada Shahrul, bahawa manusia tidak akan pernah terlepas daripada proses pembicaraan di mahkamah. Kalau tidak pernah di mahkamah manusia, di akhirat nanti pasti mahkamah Allah menanti. Kalau di dunia mereka yang dituduh boleh  mengupah lawyer untuk mempertahankan mereka, di akhirat nanti siapa pula yang sanggup mempertahankan kita dan membentangkan ‘kes’ di hadapan Allah nanti? Siapa yang cukup berani untuk berseteru dengan Yang Maha Menghakimi. Setiap daripada kita pasti akan dipersoalkan dan dibacarakan di akhirat kelak atas segala perbuatan kita. Hatta, memiliki peguam yang terbaik pada waktu itu pun tidak akan menyelamatkan kita daripada keputusan Allah yang Maha Adil, setimpal dengan apa yang kita usahakan di dunia. Hanya amalan yang mampu ‘berkata-kata’ pada hari tersebut dan mempertahankan kita di dalam mahkamah Allah.

*********



Bulatan usrah mereka pada malam itu, ditutup dengan surah Al-Asr. Sesi yang cukup ringkas pada malam itu tapi cukup untuk mengecas tuntutan iman yang merajai hati. Sebelum meninggalkan Masjid KLCC, tempat usrah mingguan mereka, semua yang hadir bersalaman, memeluk satu sama lain, mendoakan yang terbaik yang lain dan ditutup dengan cium pipi kanan, cium pipi kiri (cipika cipiki). Shahrul memeluk ahli usrahnya satu persatu. Rasa ukhuwwah yang menebal membuatkan berpisah setiap kali selepas usrah terasa berat. Ingin sahaja dia duduk lebih lama dengan ahli usrahnya. Tapi setiap seorang daripada mereka sudah berumah tangga, berkerjaya, hanya Shahrul yang masih membujang.

Soalan “Bila nak mendirikan baitul muslim?” atau “Bila nak kahwin?” ataupun “Bila nak belanja ana makan nasi minyak?”, semuanya dah menjadi soalan wajib buat Shahrul setiap kali selesai usrah. Puas juga dia melayan soalan tersebut. Jawapan Shahrul tetap sama daripada dulu;

“InsyaAllah sedang diusahakan akhi. Kalau ada jodoh, ana minta antum semua doakan supaya Allah mudahkan jodoh ana. Kalau jodoh ana tu jauh, minta doa antum supaya Allah dekatkan dia.” 

Jawapan klise Shahrul sentiasa diakhiri dengan senyuman penuh pengharapan. Berharap agar doa ikhwah dan memudahkan segala urusan hidupnya dan diperkenankan Allah.

Di sebuah sudut, Akmal memanggil Shahrul. Lembut. Persis seorang abang yang memanggil adiknya yang sedang leka bermain. Shahrul cepat-cepat menuju ke arah naqibnya. Dari jauh dah dapat dilihat wajah abang usrahnya yang senyum menguntum.

“Anta sihat? Kenapa anta nampak letih je ni?”

“Alhamdulillah… Ana ok je akhi. Memang macam ni la setiap hari akhi… Banyak kes menanti dekat pejabat tu. Balik ni pun ana nak kena buat summary kes lagi. Memang tidur lewat lagi malam ni…”

“Oooo… Anta berjaga malam ni, jangan sampai terjejas kesihatan pulak. Jangan sampai terkorban tahajjud dan jangan sampai terlepas solat subuh awal waktu pulak nanti”

“InsyaAllah… Mohon doa akhi. Ana sangat memerlukan kekuatan untuk uruskan kehidupan ana ni. Kekadang memang sampai tak menang tangan ana dengan kerja, usrah, kemas rumah lagi. Ana tak merungut. Ana faham ini fitrah jalan kita. Tiada masa lapang dalam usaha menyelamatkan ummah ni. Cuma ana berdoa sangat supaya Allah pinjamkan kekuatan yang ekstra untuk ana uruskan semuanya…”

“Ermm… Rasanya anta ni bukan perlukan lebih masa ataupun kekuatan. Rasanya anta perlukan peneman ni. Perlukan somebody untuk bagi semangat sikit, and bantu uruskan kehidupan anta ni. Hehe.”

Akmal senyum nakal. Shahrul terus tertunduk. Dah mula la ni… Pasti Akmal nak membuka bicara tentang soal baitul muslim lagi. Allah…

“Ana dah sampaikan lamaran anta kepada Sarah semalam. Ana yakin naqibah dia dah sampaikan lamaran anta…”

Shahrul terus berdebar. Allah… Lamaran dia sudah disampaikan. Dia terbayang wajah Sarah waktu mendengar lamarannya. Mungkin lamaran mengejut dia seperti bom Hiroshima dan Nagasaki buat Sarah… Kelu Shahrul… Lama memikirkan respon untuk diberikan kepada Akmal.

“Eh… Encik Lawyer kita ni dah hilang petah bicara dia ye? Macam mana nak yakinkan Tuan Hakim ni nanti? Haha.”

Akmal mengusik kebisuan Shahrul. Shahrul tersengih.

“Jangan nervous ye akhi… Ana belum habis cerita lagi ni… Anta taknak tau ke perkara selanjutnya?”

“Nak… Aseef… Ana cuma terkejut jap tadi. Blank. Tak tahu nak kata apa…”

“Biasalah tu akhi.. Ana faham. Cuma rasa best pulak bila boleh buat lawyer terdiam. Rasa epic pulak. Haha. Ok ok… Back to business asal kita. Kalau anta nak tahu… Sarah dah beri respon dia.”

Statement Akmal tadi hampir membuat jantung Shahrul gugur. Cepatnya respon daripada Sarah. Kalau semalam baru disampaikan, takkan malam ni dah terus ada jawapan. MasyaAllah… Hati Shahrul masih belum betul-betul ready untuk mendengar respon Sarah.

“Ana nak cerita ni… Boleh tak akhi? Jangan la buat muka cemas sangat.”

Shahrul mengangguk perlahan. Dalam hatinya dia bedoa supaya Allah menetapkan jawapan yang terbaik. Kalau lamarannya ditolak, itu pasti ketentuan yang terbaik daripada Allah, kalau diterima pun, itu pasti ketetapan yang terbaik daripada Allah juga.

“Mulanya macam biasa Ukhti Sarah memang terkejut bila dengar tentang lamaran anta. Di pihak dia pun, Sarah rasa macam belum bersedia untuk membina baitul muslim ni. Menurut naqibah dia, Ukhti Anis, Sarah agak keberatan… Antara sebabnya ialah sebab anta seorang lawyer.”

Allah.. Kali ni statement Akmal benar-benar menggugurkan jatungnya. Sarah menolak lamarannya. Dan sebab dia ditolak ialah kerana beliau seorang lawyer. Ini kegilaan! Siapa pernah menyangka berkerja sebagai seorang lawyer boleh dijadikan alasan untuk ditolak sesebuah lamaran?

“Anta jangan la buat muka sedih tu… Ana tak habis cerita lagi ini… Shahrul… Senyum dulu ye… Kalau anta tak senyum, ana tak sambung cerita ni…”

Shahrul senyum. Terpaksa. Macam mana dia nak terbitkan senyuman yang ikhlas dalam keadaan macam ni.

“Aha… Kan handsome kalau senyum. Ana sambung cerita ye… Yang ana sebut tadi, itu jawapan Sarah sebelum dia istikharah. Itu cuma persepsi awal dia”

“Lepas Sarah istikharah, apa jawapan dia akh?”

Akmal mendekatkan diri kepada Shahrul, dipeluknya bahu Shahrul erat-erat.

“Lepas Sarah istikharah, dia setuju untuk berta’aruf dengan anta. Ha… Suka tak? Suka tak?”

Perasaan Shahrul melayang. Inikah dia namanya kebahagiaan? Sampai begitu sekali rasa bahagia di dalam hatinya. Sarah bersedia untuk berta’aruf.  Shahrul hairan juga… Kalau Sarah rasa kurang selesa dengan kariernya sebagai seorang lawyer, kenapa Sarah masih ingin berta’aruf? Mungkin ada persoalan di pihak Sarah. Shahrul tidak dapat membendung perasaannya lagi. Hilang ketenangannnya. Tersenyum. Tersengih. Merona merah telinganya. Antara malu dan bahagia, perasaan itu bercampur baur.

“Anta jangan syok lebih-lebih pulak tau… Ukhti Sarah tu baru je setuju nak berta’aruf.. Belum setuju nak kahwin lagi ni. Anta jangan berhenti berdoa. Allah yang tetapkan semua ni”

Akmal mengingatkan semula Shahrul. Shahrul perlu bertenang. Akmal faham sangat rasa gemuruh, berdebar, bahagia yang sedang dialami Shahrul sekarang. Tetapi perlu diingatkan juga, kesediaan untuk berta’aruf itu bukan penentu. Ramai sahaja yang berta’aruf dan kemudian mereka mendapati mereka tak sesuai untuk satu sama lain.

“Aseef akhi… Ana faham… Doa tak boleh berhenti. Cuma ana fikirkan juga, kalau Sarah nak berta’aruf, ana kena sediakan masa. Kena semak semula jadual ana… Takut bertembung dengan komitmen lain.”

“Laa… Anta tak payah la nak risau pasal nak cari masa yang sesuai tu. Ana dah carikan…”

“Ye ke? JazakAllah akhi… Bila ye?”

“Sekarang.”

“Se… se… se… sekarang ke akhi? Tapi… tapi… tapi… Ana tak ready lansung ni. Anta memain je kan?”

Shahrul antara percaya dan tidak percaya. Dia yakin Akmal sedang bergurau. Takkan lah sekarang dia perlu menjalani ta’aruf. Baru je balik kerja ni. Muka penat, dengan tak mandi lagi. Terasa sangat tidak sesuai untuk ta’aruf.

“Ana tak bermain ni akhi… Ana serius. Ini permintaan peribadi daripada Sarah. Daripada kita mula usrah lepas maghrib tadi, Sarah dengan naqibah dia, Anis bertemankan zauj Ukti Anis, Akh Nasriq dah ada dekat sini. Sarah yang minta supaya disusun waktu ta’aruf ni secepatnya tanpa pengetahuan anta. Dia tak mahu anta boleh sediakan skema jawapan nanti kalau anta dah tahu tarikh ta’aruf awal-awal. Dia nak anta ikhlas dalam ta’aruf.”

“Tapi ini tak adil untuk ana akhi… Ana tak terbayang pun akan jumpa Sarah malam ni..”

“Anta jangan risau… Ana yakin pada anta, dan ana percaya kepada ketetapan Allah. Sepertimana yang ana sebut tadi, Sarah nak keikhlasan. Ini cara Sarah untuk menilai keikhlasan anta. Kalau anta benar-benar ikhlas nak melamar ukhti tu, insyaAllah anta tak perlu bersedia pun, keikhlasan anta akan dapat dirasai dalam jawapan anta nanti… Nasihat ana, anta jangan risau. Beri Sarah jawapan yang jujur dan ikhlas. Kalau ada jodoh, pasti Allah mudahkan. Mana tahu ta’aruf awal-awal ni lagi cepat kahwin nanti ke? Ana pun yakin Sarah ada sebab dia buat perancangan macam ni… Nanti waktu ta’aruf tu bukan Sarah tu je yang tanya soalan… Anta pun boleh tanya jugak. InsyaAllah inilah waktu yang sesuai untuk kenal hatibudi masing-masing. Ana doakan yang terbaik…”

“InsyaAllah akhi… Tapi beri ana masa 10 minit boleh? Ana nak solat sunat dulu. Rasa berdebar dalam hati ana ni perlu ditenangkan terlebih dahulu…”

Akmal tersenyum. Inilah sifat Shahrul yang mengagumkan dia. Kalau ikhwah lain pasti dah merasakan ini ketidakadilan. Siapa je yang berani hadir ke ta’aruf secara mengejut? Shahrul memang begitu. Berani. Sebab dia tahu dia di pihak yang benar. Kalau diminta menjadi muwajih atau memberi pengisian secara tiba-tiba dan mengejut pun, pasti dia minta 10 minit untuk bersedia dan solat.

“Boleh sangat akhi… Anta pergilah siapkan diri kejap. Minta Allah pandu hati anta. Sementara anta bersedia tu, ana mesej Ukhti Sarah dengan Anis kejap ye. Kita ta’aruf secara ringkas dan santai je. Dekat sini je tau. Nanti anta dah settle semua, datang je sini dan kita boleh teruskan. Ana doakan anta. Ingat Allah akhi… Ingat Allah banyak-banyak…”

Allah…

…Fazkuruni Azkurkum…
*********

Bersambung...

Glossari:
ana : saya
anta : awak lelaki
anti : awak perempuan
ikhwah : saudara, biasanya gelaran untuk lelaki yang mengikuti usrah
akhawat : saudari, biasanya gelaran untuk perempuan yang mengikuti usrah
akhi : saudara lelakiku
ukhti : saudara perempuanku
naqib : Lelaki yang membimbing usrah
naqibah : Perempuan yang membimbing usrah
muwajih : penyampai atau penceramah
liqa' : bulatan
baitul muslim : keluarga Islam atau rumahtangga
ta'aruf : berkenalan. Proses yang biasa dilakukan oleh ikhwah & akhawat sebelum menerima atau menolak lamaran
aseef : maaf
JazakAllah : terima kasih atau semoga Allah membalas kebaikanmu

P/s : Alhamdulillah... Selesai bahagian pertama... Moga Allah jadikan tulisan ini bermanfaat. Saya tegaskan ini bukanlah kisah yang berteraskan cinta, tapi lebih menjurus kepada dunia dakwah dan tarbiyyah. Lebih tepat lagi saya nak kongsikan kisah hidup ikhwah atau akhawat yang sedang belajar undang-undang sivil ataupun sedang berkerja sebagai seorang lawyer...

Doakan supaya Allah mudahkan dan ringankan tubuh ini untuk terus menulis...

Fazkuruni Azkurkum... Ingatlah kepadaKu, nescaya Aku akan ingat kepadamu...

Wassalam...
   





1 comments:

Anonymous said...

bestnyeww. tak sabau nak baca sambungannya

Total Pageviews

Followers

Twitter

Be Likeable!

Fami-Liar's Posts

get this widget here

Writers of Life

Pages

Solat Time

Powered by Blogger.

Petikan Al-Quran

Popular Posts