Tuesday, August 28, 2012

 11:23 PM   Anonymous   , ,    No comments
Assalamualaikumwarahmatullahiwabarakatuh.

Dengan nama Allah Yang Maha Memberi Inspirasi dan Maha Mencetus Kreativiti. Hamba kerdil ini mohon pinjam sedikit ilmuMu yang terbentang luas.

*Anda masih dalam mood raya lagi? Saya masih :) Hasilnya, tumbesaran fizikal yang menyayat hati. hehe...

Alhamdulillah Ya Rabb, selesai kedatangan aidilfitri, datang lagi sebuah kegembiraan buat rakyat Malaysia. Hari Janji Ditepati, eh silap, Sambutan Hari Kemerdekaan Ke 55. Makanya moleklah kita duduk santai merenung sejenak deep down in our heart, macam mana je nak menyambut hari kemerdekaan yang bakal menjelang ni... Takkan nak kibar Jalur Gemilang macam anak-anak kecil tanpa memahami maksudnya?

Jom, saya kongsi sebuah cerita. Kisah ini berlaku pada tahun 2009.

Tanggal 31 Ogos 2009, seperti biasa semua rakyat Malaysia bercuti sehari sempena menyambut kemerdekaan yang telah diperoleh sejak tahun 1957 lagi. Begitu dengan seorang remaja muda belia bernama Ahmad. Dia juga bercuti. Cuma cutinya terasa biasa saja. Biarpun bercuti masih lagi berada di asrama mengisi program kemerdekaan yang disediakan sekolah. Semua program dirasakan macam angin lalu. Masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Rata-rata seluruh warga sekolah berprestasi tinggi itu berfikiran yang sama.



Setiap tahun video sejarah kemerdekaan yang sama diulang-ulang. Ahmad seakan muak sedikit tapi pengisian itu ditelan jua. Tamat program, semua pelajar meluru mendapatkan katil masing-masing. Sewaktu meninggalkan dewan besar selepas ceramah, dia sempat menjengah pandangan ke kawasan sekitar sekolahnya. Hampir penuh seluruh kawasan sekolahnya dihiasi Jalur Gemilang. Ada pelbagai bentuk. Dalam diam hatinya, dia masih lagi tercari-cari erti kemerdekaan yang disambutnya setiap tahun. Kosong. Ahmad pun tidak beriya mahu memerah fikiran mencari erti kebebasan penjajahan itu.

Langkah cermatnya diteruskan. Pantas dia menuju ke dormnya. Terasa nyaman dan menyenangkan. Fitrah hidup di asrama, katil dan dorm bagai nyawa di luar badan. Ahmad mendapatkan ahli-ahli dormnya yang lain, sangat rancak sekali mereka bersembang. Hampir setengah jam sehinggalah masing-masing bangkit meneruskan kegiatan sendiri. Sayang sekali, tidak sekali pun mereka berbual tentang kemerdekaan, hatta perkataan merdeka itu pun jauh sekali dari tutur bibir mereka. 31 Ogos hanya sebuah cuti umum. Noktah. Umumnya juga kegiatan pelajar sekolah berasrama penuh, cuti ertinya memenuhi tuntutan biologi. Tidur semata. Ahmad merebahkan badannya ke katil. Lelap dalam kenyamanan.



Ahmad bingkas bangkit menyambut seruan azan zohor. Liat dia mahu meninggalkan katil, tambah pula dengan hujan lebat diluar, dorm berkipas kecil itu seperti dilengkapi dengan penghawa dingin. Dingin. Kalau tak diingatkan di akhirat nanti pasti dia akan dihisab kerana melewatkan solatnya, tentu sahaja dia tidur lagi. Berpisat-pisat Ahmad menuruni tangga menuju ke musolla. Air kolah wudhu' yang menjengah kulitnya seperti ais, terlalu sejuk namun terus menyingkirkan jauh-jauh rasa mengantuk yang tersisa. Ahmad bersedia untuk bersolat.

Jumlah jemaah tampak kurang, mungkin kerana hujan, ramai memilih untuk melengahkan solat. Ahmad menanti solat jemaah dimulakan. Junior-juniornya sempat menawarkan Ahmad tempat sebagai imam. Dia memandang kiri dan kanan. Benar, dia yang paling senior dalam kalangan jemaah yang kecil itu. Dengan berserah dia melangkah ke sejadah imam. Takbir diangkat dan seluruh hubungan dengan dunia luar diputuskan sementara. Cuba meraih khusyu' menghadap Illahi.



Jam tangannya menunjukkan pukul 3 petang. Ibubapanya masih belum kunjung tiba. Sudah menjadi kebiasaan mama dan ayahnya menziarahi Ahmad setiap kali ada peluang. Malah macam-macam lauk pauk akan dibawa untuk dimakan bersama. Ahmad sampai meninggalkan makan tengahari di dewan makan, sengaja mengosongkan perut. Dia termenung jauh. Hujan masih lagi turun dengan lebat. Ahmad keluar dari dormnya, merenung pemandangan di luar. SubhanAllah, cantik! Matanya seronok menjamah pemandangan yang indah itu. 

Tiba-tiba matanya tertangkap barisan Jalur Gemilang yang dipacakkan di sepanjang jalan. Sangat dahsyat berkibar. Angin lagu mengiringi hujan lebat seolah-olah menghidupkan semua Jalur Gemilang itu. Bekibar gagah dalam terpaan hujan. Ahmad terus memerhati dan angin terus menderu laju. Salah satu tiang Jalur Gemilang itu tiba-tiba rebah ditujah angin. Akibatnya, Jalur Gemilang yang berpaut di tiang kayu itu menyembah bumi, terus bergelumang dalam lumpur.

Hati kecilnya terasa disentap. Bendera negaranya jatuh di depan mata sendiri. Biarpun dia bukan seorang yang mempunyai nilai patriotisme yang tinggi, dia tahu nilai sehelai Jalur Gemilang. Jalur Gemilang tadi hanyut dibawa air mengalir dan menuju perlahan-lahan ke arah longkang berdekatan. Terus dia berlari pantas ke arah bendera hanyut tu. Mata-mata yang memandang berasa hairan sekali. Pelik dengan kelibat seorang remeja yang berlari meredah hujan. Ahmad basah kuyup dan bendera itu begitu hampir sekali ke dalam longkang. Ahmad mempercepatkan lariannnya dan bendera itu dia capai segera, belum sempat menjengah ke arus deras di dalam longkang.

Dalam hujan, air matanya mengalir dan Jalur Gemilang rebah itu digenggam kemas. Hujan menyembunyikan air matanya. Apa yang begitu menyentuh hatinya? Ini kerana sebelum berlari mendapatkan bendera itu, dia memerhati dengan diam. Banyak sekali kereta lalu lalang. Kebanyakkannya ibubapa yang datang melawat anak-anak. Sesiapa yang melintas pasti akan nampak jelas bendera kotor berlumpur di tengah jalan itu. Semua mengendahkannya. Berlalu laju dan tidak ada seorang pun yang mempunyai hati untuk menhentikan kenderaan untuk mengutip Jalur Gemilang itu. Mengutip bendera yang jatuh lansung tidak memerlukan nilai patriotisme yang tinggi! Sesiapa pun boleh. Sungguh! Hatinya bagai digilis bila ada beberapa kenderaan yang turut serta menggilis bendera yang berada dalam laluan meraka. Sungguh, hati Ahmad bagai disiat-siat!



Bendera kotor berlumpur itu masih lagi digengam erat. Perlahan langkah kakinya menuju ke dorm. Apa ertinya bendera ini? Dalam maknanya bagi mereka yang mahu menjiwai dan murah nilainya buat mereka yang tidak mengetahui. Ahmad menukar pakaiannya yang basah setibanya di dorm. Jalur Gemilang tadi disimpan rapi di dalam loker. Ada kewajipan yang harus ditunaikan nanti. Buat masa ini dia perlu menyertai keluarganya menjamu selera. Keluarganya baru tiba, sudah menunggu di dewan makan.

Tepat jam 6.00 petang, seluruh warga asrama putera bergegas ke bilik mandi, segera bersiap untuk sesi prep malam. Ahmad tidak terkecuali. Dia menyertai rombongan ke bilik mandi juga. Cuma bezanya, dia membawa sehelai Jalur Gemilang kotor bersamanya. Kawan-kawannya banyak bertanya tentang bendera itu, Ahmad hanya tersenyum membisu. Dibawanya bendera itu ke tempat basuh. Ramai. Ahmad menanti gilirannya dengan sabar. Apabila sampai gilirannya, diletakkan bendera kotor itu di atas tempat basuh, ditaburkan sabun ke atasnya malah sempat dia menuang sedikit softlan, biar bendera itu nanti berkibar wangi. Dia memberus bendera itu sehingga bersih. Jalur merah putih itu ditatap dan diberus. Puas hatinya. Dijemurnya bendera itu di ampaian. Harapannya biar bendera itu kering menjelang tengah malam.

Sewaktu prep, Ahmad banyak berfikir. Dia sendiri hairan dengan kejadian yang dia alami pada Hari Kemerdekaan kali ini. Tidak pernah 31 Ogosnya terasa bermakna. Ahmad berfikir juga, kalau-kalau ada tak lagi rakyat Malaysia yang mengutip Jalur Gemilang kotor di tepi jalan, membawanya pulang ke rumah dan memberusnya sehingga bersih? Mungkin dia rakyat Malaysia tunggal yang melakukan hal seperti itu. Dia tertawa kecil. Cuma dia benar-benar terkilan jika benar tiada lagi rakyat Malaysia yang sanggup mengutip bendera Malaysia yang rebah.

Tengah malam itu, Ahmad membawa Jalur Gemilang bersih itu ke tempat asalnya. Dipasakkan tiangnya agar menjadi lebih kuat. Ahmad mengikat kemas Jalur Gemilang itu. Bendera itu sudah siap kembali ke tempat asalnya. Dia menanti bendera itu berkibar biarpun sekali. Selagi tidak berkibar dia tidak mahu pulang. Berbeza dengan siang tadi, malam itu angin tidak menderu lagi. Ahmad menanti dan menanti. Akhirnya, bendera itu berkibar. Berkibar dengan gagah sekali. Angin bagai memahami permintaan hati Ahmad. Kibaran Jalur Gemilang basuhannya terasa bermakna. Setiap kibarannya megah, gagah dan tentu sekali wangi. Ahmad benar-benar puas.



Sekali lagi 31 Ogos berakhir. Ahmad diam berbaring di atas katilnya. Sedikit-sedikit dia mula memahami erti 31 Ogos. Kalau bukan erti kemerdekaan, dia mula mengerti nilai sehelai Jalur Gemilang, seterusnya memahami nilai sebuah perjuangan, menghayati nikmat sebuah negara dan akhirnya menjiwai tanggungjawab seorang rakyat. Malam itu, sebelum tidur dia bertekad, 31 Ogos bukan sekadar perlu disambut, tetapi perlu dijiwai, dihayati dan diisi barulah erti merdeka itu difahami!

Sekian sebuah kisah sempena Hari Kemerdekaan Malaysia ke-55. Moga anda peroleh makna dari kisah ini dan mula meneliti bagaimana mengisi 31 Ogos anda. 31 Ogos 2012 kali ini marilah kita lupakan dacing, bulan, bulan sabit mahupun roket dan kita kita fokus kepada Jalur Gemilang kita yang satu.

Tema kemerdekaan khas buat diri saya tahun ini masih lagi Keranamu Malaysia :)

Bonus Picture :) Merdeka!!! 7x
Wassalam...

*Merdeka, bukan sekadar mengibar bendera...
**Sekolah saya bila ambang merdeka ada makan ubi kayu macam waktu penjajahan dulu. Sekolah anda ada? Haha :)
***Anda tahu tak siapa yang design Jalur Gemilang ni?

0 comments:

Total Pageviews

Followers

Twitter

Be Likeable!

Fami-Liar's Posts

get this widget here

Writers of Life

Pages

Solat Time

Powered by Blogger.

Petikan Al-Quran

Blog Archive

Popular Posts