Monday, January 20, 2014

 9:51 PM   Anonymous      1 comment
Dengan nama Allah Yang Maha Mengetahui keadaanku sekarang ini. Aku serahkan kepadaMu segala urusanku daripada dunia ini hingga ke kampung akhirat sana... :') Pimpin aku Ya Allah...

Ini entri pertama untuk tahun ini, 2014. Selepas 20 hari tahun baru ini, barulah saya mampu untuk menulis sesuatu di blog kian menghijau ini. Mohon ampun atas segala keterlewatan. Apatah lagi entry pertama kali ini juga berbentuk agak peribadi, tentang diri saya yang marhaen ini. Tentang minat yang dah dipupuk sejak muda-mudi remaja lagi. Hehe.

Iya. Saya nak menulis tentang 'debat'. Ini bukanlah kali pertana saya menulis tentang debat rasanya. Banyak kalilah juga, cuma dah lama. Dan rasanya ini kali pertama saya nak menulis sesuatu tentang debat setelah disantuni oleh dunia dakwah dan tarbiyyah.



"Allah Yang Maha Pemurah, yang telah mengajarkan Al Quran. Allah menciptakan manusia, mengajarnya berbicara (menerangkan sesuatu cetusan daripada fikiran dan perasaanya)"
[Ar Rahman: 1-4]  

Kali pertama saya mengenal dunia debat ini ialah ketika berumur 14 tahun. Waktu itu, saya dijemput sendiri oleh seorang senior bernama Bro Ashvin, seorang non-muslim yang baik akhlaknya dan selalu membimbing diri dalam karier debat sekolah saya. Maka dari situ rasanya saya mula dijebakkan dengan minat yang mendalam berkaitan debat. 

Pada tahun 2009, pernah saya sebilik dengan seorang pendebat yang juga seorang ikhwah sekarang ini. Dalam menghadapi Hari Terbuka Asrama zaman dulu-dulu, saya melihat dia menghias loker biliknya dengan pelbagai tulisan-tulisan berbentuk inspiratif. Antara yang paling berkesan kepada diri saya ialah ayat ini, "Debate is the art of life". Debat ialah seni kehidupan. Waktu itu terasa begitu besar maknanya debat kepada saya. Debat telah menjadi platform yang mengubah seorang Ahmad Azri. Dulu saya seorang yang pemalu, takut, tidak berani menyuarakan pandangan. Tapi debat telah mengubah semua itu. Debat telah mendidik saya agar menjadi seorang manusia yang tegas dengan prinsip tetapi amat menghormati pandangan orang lain. Debat juga mengajar saya untuk jadi seorang manusia yang bersabar dalam menerima kritikan dan berlapang dada sebelum membuat keputusan. Debat juga memberi saya keupayaan untuk menganalisis sesebuah maklumat sebelum menelannya bulat-bulat.

Tetapi yang bahayanya, debat juga mengajar saya untuk mencari jalan untuk sentiasa menang dalam bersilat lidah!

Allah...

Tanggal tahun 2011 rasanya, itu kali pertama saya dikenalkan kepada dunia dakwah & tarbiyyah. Perkataan-perkataan yang janggal di telinga sebelum ini seperti usrah, dakwah, tarbiyyah, daurah, muayasyah, mad'u, dan macam-macam lagi telah menjadi seakan zikir harian. Perlu untuk menyebutnya setiap hari. Bahkan rasa tidak cukup sekadar menyebut-nyebut. Erti sebutan perlu diisi. Perlu dihayati dan diimani. Maka lantas perasaan itu telah menolak saya untuk bermati-matian di jalan ini. Err... Walaupun saya masih lagi belum mampu untuk merasakan bahawa saya benar-benar seorang ikhwah yang ikhlas atau sekadar ikhwah jadian? Saya berdoa agar Allah sentiasa pandu hati saya...

Malah di peringkat universiti ini pun, saya masih lagi aktif dalam bidang debat. Latihan sana-sini, dan pertandingan tanpa henti, mungkin. Malah saya sampai merasakan dua perkara yang paling dekat dengan saya sekarang ini ialah Dakwah & Debat. The Double D. Bukan akademik ataupun projek-projek kolej yang menanti. Eh? Haha...



Tentulah dalam keadaan ini, apatah lagi sebagai seorang ikhwah law di UM. Tugas saya yang saya perlu akui, bukan sahaja mencari mad'u, bukan sahaja menyantuni manusia, bukan sahaja membina ukhuwwah tetapi biah solehah di fakulti itu juga harus dibina. Bilangan ikhwah dan akhawat yang amat kecil, dan dalam keadaan yang kecil itu pun, belum lagi benar-benar serius dalam dakwah, bagaimana sahaja masa depan dakwah untuk generasi yang akan datang? Fuuh... Betul ini tugas yang amat berat. Terasa susah untuk dipenuhi... Tetapi inilah hakikat dalam perjuangan dakwah... Mana ada karpet merah dan bunga-bunga bertaburan? Kena kuat mujahadah!

Selalu sangat saya rasa bersalah saat tuntutan dakwah dan debat bertembung. Allah, mana satu yang harus aku dahulukan? Jawapan skema rasminya, tentulah dakwah. Sebab dakwah ialah nafas kehidupan. Tetapi kebanyakkan kalinya apa yang saya lakukan ialah sebaliknya, melebihkan dunia debat... Ouh Allah,... Bila kenang balik saat-saat itu, begitu beraninya aku berpaling daripada panggilan dakwah itu? :'( Allah... Ampunkan aku...

Saya juga hingga pernah ditanya oleh seorang akhawat ni, "Berdebat ni dapat apa je? Habis berdebat tu, bukan ada resolusi pun. Bukan bawa perubahan pada dasar-dasar negara pun..." Saya jadi terdiam juga saat itu. Benar juga. Apa yang aku dapat dalam debat selama ni? Menang? Itu belum cukup memuaskan. Yang saya hargai dalam debat ialah pertembungan minda yang berlaku. Saya suka bila idea-idea saya didengar dan diterjemahkan dalam hujahan untuk meyakinkan pihak lawan. Rasa dihargai. Pertembungan minda itu benar-benar memuaskan saya. Bahkan hujah pihak lawan juga sering jadi ilmu baru buat saya.

Tapi saya terlupa, dalam Dakwah, ada sesuatu yang lebih daripada itu, sesuatu yang lebih bermakna dan besar lagi. Dakwah ialah pertembungan hati. Iya, hati. Dalam dakwah hati-hati bakal menyatu dan berpandu seiring dengan rasa cinta kepada Illahi. Untuk menggapai minda seseorang itu mudah, tapi untuk menyentuh hatinya, itu amat sukar sekali. Memakan masa, tenaga, dan usaha. Ohooi... Indahnya seni dalam berdakwah. Pinjam kata-kata 'Aku Bukan Superman', "Dakwah ialah seni memikat hati"! Allah... Indah kan? Sweet kan? Hehe :')

Akhirnya saya pernah mengajukan isi hati ini kepada Murrobi kesayangan. Jawapan akh itu sangat mudah. Dia tanya saya, "Apa tujuan kita berdebat ni? Untuk menang ke? Kalau untuk menang, itu tak membawa sebarang makna akhi... Debat itu sepatutnya untuk menyampaikan kebenaran". 

Dan halilintar pun menyambar...!!!

Allah... Baru aku sedar hakikat debat selama ini. Kalau kita belajar sirah, Islam yang bermula di jazirah Arab. Betapa masyarakat Arab pada waktu itu amat menghargai mereka yang berkemampuan dalam berdebat. Dan selepas dilanda ombak Islam, apakah kebolehan debat itu hilang? Tidak! Bahkan dikuatkan. Debat bukan lagi menjadi sekadar hiburan masyarakat. Debat diberi makna yang lebih luas. Debat jadi lebih bererti. Debat kerana ingin menyampaikan kebenaran. Sehingga Allah merakamkan kegunaan debat ini di dalam firmanNya;

"Berdakwahlah (wahai Muhammad) ke arah jalan (agama) Tuhanmu dengan (cara) berhikmah, nasihat yang baik serta berdebatlah dengan mereka melalui cara yang terbaik. Sesungguhnya, Tuhanmu lebih mengetahui tentang orang yang sesat daripada jalanNya dan Dia juga lebih mengetahui tentang golongan yang mendapat petunjuk"
[Surah An Nahl 16:125]

See? Allah... Debat juga jadi aksesori dalam dakwah. Debat telah menjadi telur putih kepada dakwah yang menjadi telur kuningku. (Err... Kalau tak faham analogi ini, saya mohon ampun. Cepat-cepat join usrah untuk tahu. Hehe)

Debat itu untuk kebenaran. Itulah debat yang digariskan oleh Islam. Benar, ikhlas dan berhikmah. Indah amat...



Maka selepas peristiwa itu, saya jadi betul-betul terkesan. Segala yang berlaku itu telah merubah paradigma saya dalam melihat dunia debat. Saya jadi melihat debat mempunyai nilai yang lebih besar. Bukan sekadar untuk menang pertandingan, tetapi menjadi wadah untuk menarik manusia ke arah Illahi. Ramai ikhwah yang kaki debat juga, dan saya dapati pengisian meraka amat membekas, seolah-olah terus zupp masuk ke dalam hati. Malah dalam berbicara, saat diangkat menjadi muwajih, penting juga untuk kita mempunyai strategi dalam berucap, perlu ada seni untuk menangkap perhatian audiens. Bukankah dakwah perlu sampai ke hati? Mana mungkin sampai ke hati kalau sekadar bercakap tanpa menghiraukan audiens yang mendengar? Dalam debat saya menemukan seni itu. Benar, ikhlas dan berhikmah. Bukanlah saya nak kata saya best jadi muwajih, tetapi debat telah mengajar saya untuk memudahkan proses menyampaikan kebenaran itu.

Allah... Nampak tak? Betapa besarnya setiap kebolehan diri, minat, hobi dan sebagainya andai disandarkan kepada Allah? Rasa nak menangis...

Moga selepas ini Allah mudahkan saya lagi. Moga lepas ini Allah pandu hati saya dalam menyeimbangkan dunia dakwah dan debat saya. Moga lepas ini, setiap tutur kata dalam debat saya ialah untuk menarik manusia ke arah Allah.. Moga Allah redha dengan segala usaha ini. Bukan sahaja debat, malah segala yang ada, kemahiran main bola ke, memasak, menyanyi, degree undang-undang, buat video parodi, projek kolej semuanya saya doakan agar menjadi aksesori kepada dakwah saya :') 

Indah kan bila dakwah jadi tujuan utama hidup? Hehe.

Wassalam...

"Sesungguhnya Kami telah menurunkan al-Kitab (al-Quran) kepadamu (Muhammad) membawa kebenaran, agar engkau mengadili manusia dengan apa yang telah diajarkan Allah kepadamu, dan janganlah engkau menjadi penentang (orang yang tiada bersalah), kerana (membela) orang yang berkhianat. Dan pohonkanlah keampunan daripada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penyayang. Dan janganlah kamu berdebat untuk (membela) orang mengkhianati dirinya. Sesunggunya Allah tidak menyukai orang yang selalu berkhianat dan bergelumang dengan dosa. Mereka dapat bersembunyi daripada manusia, tetapi meraka tidak dapat bersembunyi daripada Allah, kerana Allah berserta mereka, pada suatu malam ketika mereka menetapkan keputusan rahsia yang tidak diredhaiNya. Dan sesungguhnya Allah Maha Meliputi (pengetahuan) terhadap apa yang mereka kerjakan. Itulah kamu! Kamu berdebat untuk (membela) mereka dalam kehidupan ini, tetapi siapa yang akan menentang Allah untuk (membela) mereka pada hari kiamat? Atau siapakah yang menjadi pelindung mereka (terhadap azab Allah)?"
[Al Nisa' 4:105-109]

Student law patut nanges baca ayat atas ni... :'(

Pemergianmu jadi kesedaran buatku... :'( #letsfollowammar

P/s : Sekarang ini dalam dunia debat, saya rasa saya dah jumpa seorang mad'u untuk disantuni. Terasa dia amat dekat dengan jiwa. Rasa amat rugi kalau saya dan dia tidak bersama dalam sebuah bulatan gembira dan bersatu melangkah ke syurga. Beberapa kali juga saya jadi terharu dengan dia saat di minta solat hajat bersama selepas habis study, minta berdoa bersama sebelum masuk ke exam hall. Bahkan saat berpisah pun, diakhirkan dengan pelukan hangat ukhuwwah. Allah... Siapa yang sangka? Indahnya ukhuwwah yang terbina keranaMu. Doakan saya dan mad'u saya ni. Moga saya dan dia sama-sama mampu jadi ikhwah yang hebat... :')

P/p/s : Mohon ampun Undang-Undang Cinta III belum menerjah blog ini lagi. InsyaAllah doakan saya menulis dengan cepat. Sebelum ini agak sibuk dengan exam. Saya juga tak sabar untuk menulis semula. Doakan. Doakan. Doakan.   

1 comments:

A. Asyraf (asd_slade) said...

Semoga terus tsabat di jalan ini

Total Pageviews

Followers

Twitter

Be Likeable!

Fami-Liar's Posts

get this widget here

Writers of Life

Pages

Solat Time

Powered by Blogger.

Petikan Al-Quran

Popular Posts