Pada 31 Mac yang lalu, LawFac Islamic Students Association
telah menganjurkan sebuah program yang dengan rendah dirinya bertujuan untuk
memberi kefahaman asas tentang kewajipan berhijab wanita muslim kepada gologan
masyarakat lain. Program ini juga melibatkan sesi memakai hijab oleh wanita
bukan islam untuk merasai sendiri perasaan wanita muslim sehari-harian.
Program ini juga bukanlah sempurna dan sudah pasti ada cacat
celanya yang perlu kami baiki. Pun begitu, tahniah kepada pihak penganjur atas
usaha yang murni ini. Apatah lagi pengarah projek ini seorang non muslim dan
sebahagian besar jawatankuasa ini juga merupakan non muslim yang komited dalam
memberi penerangan buat masyarakat. Tahniah dan terima kasih.
Semalam saya telah menerima beberapa persoalan berkaitan
sebuah pamphlet edaran ahli LISA berkenaan hijab. Saya kira ini contoh
persoalan yang baik. Sekalipun ia ditujukan kepada umum, selaku seorang muslim
dan pengerusi LISA saya berasa ber’amanah’ untuk memberi sedikit respons akan
persoalan-persoalan tersebut. Sebelumnya, saya ucapkan terima kasih kepada
kenalan tersebut atas persoalan-persoalan beliau yang saya yakin dibuat atas
dasar ingin tahu. Sememangnya hal-hal seperti inilah yang kita harapkan tatkala
hidup dalam masyarakat yang berbilang. Persoalan untuk mendapatkan kefahaman.
Luar biasa dan indah suasan yang ada di depan kita sekarang ini. Saya dengan
rendah diri mengharapkan respons saya ini sedikit sebanyak boleh memberi
gambaran asas kepada konsep hijab.
1.0
Apakah Yang Dimaksudkan Dengan ‘Objectified’
Untuk menjawab persoalan ini saya kira baik untuk saya
terangkan konsep menutup aurat di dalam Islam.
"Hai Nabi! Katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak
perempuanmu dan isteri-isteri orang mu'min semua hendaklah mereka melabuhkan
jilbab-jilbab mereka atas (muka-muka) mereka. Yang demikian itu lebih
memastikan mereka agar dikenali (sebagai wanita Islam) supaya mereka tidak
diganggu." (al-Ahzab: 59)
Jilbab, iaitu pakaian yang lebarnya semacam baju kurung
untuk dipakai oleh kaum wanita bagi menutupi tubuh badannya. Syeikh Dr Yusof
Al-Qaradawi menerangkan "Sebahagian perempuan Jahiliah apabila keluar
rumah, mereka suka menampakkan sebahagian kecantikannya, misalnya dada, leher
dan rambut, sehingga mereka ini diganggu oleh laki-laki fasik (jahat) dan yang
suka berzina, kemudian turunlah ayat di atas yang memerintahkan kepada
orang-orang perempuan Islam untuk melabuhkan jilbabnya itu sehingga semua
bahagian-bahagian tubuhnya yang boleh membawa fitnah itu tidak kelihatan.
Dengan demikian secara zahirnya pula mereka itu akan dikenali sebagai wanita
yang terpelihara (‘afifah) serta tidak mudah diganggu oleh orang-orang yang
suka kejahatan atau orang-orang munafik.
Jadi jelasnya, bahawa ayat tersebut memberikan ‘illah
(alasan) utama perintah ini adalah kerana bimbang wanita muslimah diganggu oleh
orang-orang fasik dan menjadi perhatian orang-orang yang suka berzina. Bukanlah
ketakutan yang timbul dari perempuan itu sendiri atau karena tidak percaya
kepada mereka, sebagaimana anggapan sebahagian orang, tetapi ia adalah kerana
sebahagian wanita yang suka menampakkan perhiasannya, berjalan dengan penuh
lenggang lengguk dan bicaranya dibuat-buat manja, sering menarik perhatian
nafsu lelaki dan menjadikannya sasaran orang-orang yang suka berzina.
Sungguh kita dalam kesesatan yang nyata seandainya menyangka
bahawa hanya hijab yang perlu ditaati dalam isu menutup aurat ini. Sedangkan
Islam menekankan untuk berpakaian sopan dan sederhana, tidak mendedahkan bahagian-bahagian
menarik yang ada pada wanita, bercakap dengan perkataan-perkataan yang mulia,
serta berakhlak mulia.
Tentang terma objectified pula saya terangkan dengan semudah
mungkin. Saat bila berpakaian seksi dan tak mahu mengenakan hijab ini kenapa?
Rata-rata bila kita melontarkan persoalan ini jawapan kaum wanita ialah untuk
kelihatan cantik, mengikut trend dan fesyen.
Soalan seterusnya
cantik untuk siapa? Sudah pasti untuk mereka yang melihat yang terdiri daripada
lelaki dan perempuan. Sepertimana juga saudara, saya juga berkesempatan untuk
menghadiri kelas Gender dan Undang-Undang. Bukankah begitu banyak sekali
insiden berkaitan dengan wanita didiskriminasi kerana tidak cantik hingga ada
yang menderita penderaan psikologi hanya kerana mereka dicerca dan dihina
kerana tidak menarik pada pandangan masyarakat.
Bukankan ingin dilihat sebagai cantik kerana manusia ini
juga merupakan sebuah bentuk perhambaan dan objectified? Islam berpandangan
melindungi bahagian-bahagian indah yang ada pada wanita ini sebagai sebuah tingkahlaku
yang mulia. Bukannya Islam melarang terus daripada menjadi cantik, tetapi
cantik perlulah berlandaskan syariat. Pemakaian hijab juga dikecualikan bila
bersama golongan keluarga. Nah, seandainya ingin benar kelihatan cantik kepada
seorang lelaki, jadilah wanita yang paling cantik dan istimewa sekali di
hadapan suami anda? Bukankah itu yang lebih baik kerana lelaki itulah yang
paling anda cintai dan ingin meberikan segala yang istimewa untuknya?
Anasir-anasir luar juga banyak memainkan peranan untuk mengatakan
bahawa menutup aurat atau memakai hijab suatu bentuk opressi atau bagaimana
wanita muslimah ini perlu taat kepada perintah kaum lelaki. Bukanlah itu mesej yang ingin disampaikan
Islam. Islam melihat kewajiban menutup aurat ini sebagai sebuah bentuk empowerment
dan sebagai guaranti bahawa wanita akan dinilai berdasarkan kecantikan dalaman
beliau berbanding kecantikan luaran. Hijab itulah yang menaikkan lagi status
wanita di mana wanita dilihat atas dasar kecerdasan intelektual beliau
berbanding tarikan seksualiti yang ada.
Dan kerana apa wanita muslimah diwajibkan berhijab? Semuanya
tidak lain tidak bukan kerana Allah semata dan bukannya atas kehendak manusia
atau ingin memuaskan pandangan mata sesiapa. Begitulah Islam yang mengajar
umatnya hanya untuk menghambakan diri kepada Tuhan. Bukan kepada yang lain.
Bukankah ini juga melepaskan wanita daripada menjadi ‘object’ masyarakat dan
akhirnya hanya berserah diri total kepada Tuhan dan berpakaian pun hanya
kepadaNya. Jangan pula kita nak mengatakan bahawa perintah Tuhan untuk
berpakaian sopan itu pelik dan tidak sesuai dengan ajaran semasa.
Kalau boleh,
saya petik sebuah ayat daripada pamphlet yang turut kami edarkan, “Rather
(hijab), it is a shield guarding against degrading remarks, unwanted advances
and unfair discrimination”. Daripada total mereka yang memeluk islam di seluruh
dunia, 75% adalah kaum wanita. Takkanlah kaum wanita ini ingin memasuki sebuah
agama yang menekan hak-hak mereka?
Jadi akhirnya adakah pakaian menjadi symbol status kemuliaan
seseorang dalam Islam? Tentu sekali tidak.
“…sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu di sisi
Allah ialah orang yang paling bertakwa…” (Hujurat : 13)
Jelas bukannya pakaian yang menjadi penentu tetapi ke’takwa’an
kepada Tuhan. Takwa secara mudah beerti ketaatan kepada segala perintah Tuhan
dan meninggalkan segala larangan. Ini bermakna menutup aurat yang merupakan
ketaatan kepada perintah Tuhan adalah sebuah langkah ke arah takwa. Tidak cukup
sekadar berhijab tetapi akhlak masih belum terjaga. Dan Islam sudah pasti tidak
mengajar manusia untuk menjadi judgmental atau penghukum di antara orang lain.
Banyak kali diulas di dalam Al Quran bahawa hanya Allah jua lah yang mengetahui
ke’takwa’an seseorang. Tugas manusia hanyalah menjalankan perintahNya serta
berpesan-pesan ke arah kebaikan.
Makanya sebagai umat islam yang berakhlak, tidak sepatutnya
kita menghukum dan menghina mereka yang tidak mengenakan hijab sebaliknya kita
perlu mengajak mereka kepada kebaikan dengan berhikmah.
2.0
Pakaian Menghindari Wanita Daripada Serangan
Seksual?
“Sebab wanita kena rogol ialah kerana dia pakai seksi”
Saya yakin kenyataan di atas ni anda selalu dengar daripada
mulut beberapa orang ahli politik. Tentu ramai yang tidak setuju. Baik, saya
cuba jelaskan seadanya. Saya pun secara jujur puas memikirkan penerangan
terbaik tentang hal ini. Akhirnya saya temukan penjelasan yang saya kira
berasas daripada tulisan Dr Zaharuddin yang sesuai dalam menerangkan hal ini.
Saya lampirkan terus sebagai jawapan untuk persoalan kedua ini.
“Semasa saya
memberikan kuliah kepada satu kumpulan wanita yang terdiri dari golongan
professional termasuk para Datin di satu daerah, ketika itu, sedang heboh isu
wanita seksi ditangkap di sebuah kelab malam. Lalu timbul isu hak peribadi
wanita untuk memakai apa jua pakaian yang diingininya, termasuk yang seksi.
Lalu, semasa kuliah ini saya mengambil peluang bertanya kepada kumpulan wanita
ini soalan mudah berikut :-
"Apakah agaknya
sebab wanita ingin memakai seksi dikhalayak ramai? Dengan skirt pendek, atau
baju sendat dan nipis?"
Ada di antara mereka
mula memberikan pandangan, tetapi kerana terlampau ramai yang bercakap, saya
tidak mendengar butirannya. Apabila saya meminta seorang wakil, seorang
menjawab dengan yakin.
" Untuk nampak
cantik ustaz..." katanya sambil tersenyum malu.
Saya bertanya pula :
"Agaknya kepada siapa nak ditunjukkan kecantikan itu?"
"Tentulah kepada
kaum lelaki ustaz, kaum wanita pun iye juga.." sambungnya.
"Baiklah, jika
lelaki tersebut sudah tergoda dengan kecantikan tu, lalu ingin menyentuh
bahagian indah yang dilihatnya boleh tak ?" Tanya saya menguji.
" Isyh, ustaz
ni.. tentulah tak boleh ustaz, dah kira ‘sexual harassment' (gangguan seksual)
tu ustaz" dengan yakin sekali hujjahnya kali ini.
"Jika demikian,
tidakkah para wanita merasakan, tindakan mereka yang memaparkan bahagian yang
menarik di tubuh mereka itu juga merupakan gangguan seksual kepada
lelaki?" Tambah saya.
" Erm, macam mana
tu ustaz?" Tanya mereka dengan nampak sedikit bingung sambil berkerut
dahi.
"Ye la, bila
orang lelaki yang dah naik syahwatnya tu, kerana kecantikan peha wanita tu
contohnya, mestilah terganggu syahwatnya, lalu terdetik keinginan seksualnya
secara tidak terkawal" .."Kerana itu saya katakan berpakaian seksi
adalah suatu bentuk gangguan seksual kepada orang lelaki di sekelilingnya"
"Cuba bayangkan,
kucing yang lapar diacah-acah dengan ikan ‘fresh' yang digoyang-goyankan di
hadapannya tentu geram kucing tu, malah silap haribulan, tentu diterkamnya muka
orang yang mengacah juga" Tambah saya lagi memberi keyakinan.
"Tapi perlu
diingat, tak semua kucing akan terkam, hanya yang amat lapar dan liar je,
demikian juga lelaki, tak semua lelaki gagal kawal nafsunya, tetapi tak
dinafikan bahawa ramai juga yang gagal dan liar"
"Akhirnya, kerana
suasana yang tak sesuai, mungkin kerana ramai orang dan di tempat awam pula,
terselamatlah wanita seksi itu dari terkaman lelaki liar tadi. Masalahnya,
anak-anak perempuan kecil berumur 7 hingga 12 tahun yang mungkin menjadi mangsa
tempiasan nafsu lelaki begini. Dan di ketika itu, samada wanita itu bertudung,
berjubah, kanak-kanak dan sebagainya tidak lagi mampu menahan nafsu si lelaki
seperti ini, asalkan suasana cukup sesuai (sunyi dan jauh dari pandangan
ramai), akan dilepaskan nafsunya secara kekerasan" Terang saya dengan
panjang lebar, mereka mengganguk dengan wajah serius kali ini….”
Ramai wanita professional dan yang kurang didikan agama hari
ini mencebik bibirnya apabila tajuk ini disebutkan, mereka tidak percaya
langsung fakta yang saya sebut diatas. Malah ada yang berpendapat lelaki
sengaja melakukan perkara buruk kepada wanita kerana ingin menunjukkan
kekuasaannya terhadap wanita. Kerap benar saya dengar hujah ini di media massa.
Hakikatnya, sebagai hamba Allah SWT dan umat Rasulullah SAW
kita diajar untuk merujuk Al-Quran dan Al-Hadith bagi mendapat kepastian
tentang baik buruk dan benar salahnya sesuatu perkara itu. Dalam hal ini, kita
rujuk semula ayat Surah Al Ahzab : 59 yang telah saya petik dalam persoalan
pertama. Ayat tersebut menjelaskan hijab dan menutup aurat ini sebagai
mekanisme terbaik untuk melindungi wanita daripada diganggu dan disakiti.
"Eleh, tetapi
hari ini ramai juga wanita bertudung yang kena rogol, malah setengahnya kena
bunuh dijerut dengan tudungnya pulak, kanak-kanak pun kena rogol dan bunuh. Ini
maknanya, tudung bukan lagi penyelamat la ustaz. Ha..macam mana ustaz nak jawab
tu ?. Hujah balas yang selalu saya dengar bila isu ini ditimbulkan.
"Pernah tak anda
merasa amat marah sepanjang hidup anda ?" Tanya saya kembali.
"Pernah juga
ustaz..kenapa ustaz, apa kaitannya?" Bingung sekali lagi mereka nampaknya.
"Biasanya bila
seseorang itu sedang amat marah, sempat tak agaknya ia berfikir bahaya atau
tidak tindakan yang dibuatnya sebagai contoh; ada orang yang sedang marah
kerana bising tangisan kanak-kanak, maka ditendang (seperti berita yang saya
baca di akhbar baru-baru ini), ditolak jatuh tangga, ditekup wajah kanak-kanak
itu dengan bantal dan macam-macam lagi bagi menghilangkan kemarahan atau
gangguan bising itu, setelah beberapa ketika mungkin baru seolah-olah dia
tersedar, lalu cemas dan mungkin menyesal"
"Demikianlah juga
nafsu jahat, bila ia berada di tahap tinggi, ia tidak lagi melihat samada
kepada pakaian dan umur wanita mahupun isteri orang dihadapannya, sasarannya
hanya mendapatkan hajat jahatnya, kerana itulah wanita yang menutup aurat
dengan sempurna serta kanak-kanak perempuan juga terancam, tanpa dapat
dinafikan juga peranan vcd, laman, akhbar, majalah dan novel lucah "
terang saya.
"Tapi macam mana
pulak ayat tadi kata tutup aurat dapat mengelakkan wanita dari disakiti ?"
Balas mereka dengan penuh minat kali ini.
"Jika kita lihat
dengan teliti, ayat tadi sebenarnya ditujukan kepada seluruh kaum wanita. Ini
bermaksud, jika sebahagian besar wanita tidak mentaatinya dan
memakai pakaian seksi pula. Di ketika itu, faedah dan kebaikan dari tutup aurat
bagi menjaga semua kaum wanita dari disakiti secara umum akan tergugat dariu
mencapai matlamat umumnya. Sebenarnya, ayat itu nak beritahu bahawa seluruh
wanita bertanggung jawab menjaga keselamatan kaum sejenisnya dengan menjaga
aurat masing-masing" Jelas saya
"Maka bila ada
yang seksi, ini bermakna, ia sedang mengancam kaum sejenisnya yang lain dan di
tempat lain kerana telah menghidupkan nafsu kebinatangan lelaki jahat yang
sedang tidur"
Saya masih ingat,
dalam perjalanan ke Masjid untuk menunaikan solat Jumaat di sebuah Masjid di
Ibu Negara. Pejabat saya di Jalan Sultan Ismail dan pada hari tersebut saya
menumpang kereta seorang rakan. Bersama kami beberapa rakan sekerja yang
lain. Tiba-tiba semasa berada di lampu trafik, tiba-tiba suasana dalam kereta
agak bising dengan bunyi..uiiiii..oii...peh..mengancam...dan sebagainya,
diikuti dengan kata-kata :
"Astaghfirullah..korang
ini teruk betul la, kan ustaz ada dengan kita ini.." Kemudian
"disambut dengan kata rakan di belakang, ye la..ini la yang bagus kita
pergi masjid dengan ustaz, terjaga sikit"
Anda tentu dapat
menggagak apa yang dilihatnya? Alhamdulilllah saya tidak sempat melihat apa-apa
kerana sedang membelek pelbagai mesej soalan hukum hakam tertunda yang memenuhi
telefon bimbit saya. Bila saya tanya, kenapa? dengan malu-malu mereka
menyalahkan sesama sendiri akibat ‘gatal mata' melihat skirt-skirt pendek
wanita KL, samada wanita Melayu mahupun Cina disekitar kawasan segitiga emas
itu.
Cuba bayangkan,
perasaan lelaki-lelaki ini. Mereka dalam perjalanan ke masjid, semuanya juga
telah berumah tangga, tapi nafsu masih teransang apabila didedahkan kepada
permandangan seperti itu. Jahatkah mereka?
"Gatal dan dah
miang sangat kot orang lelaki ni, memang teruk mereka ni, tak sangka, harap
suami kita tak macam ni" mungkin itulah yang akan dikatakan oleh
sebahagian besar pembaca wanita sekarang ini.
Tapi itulah cabaran
terbesar lelaki wahai kaum wanita, iaitu ANDA, wanita dan seluruh kecantikan
yang dikurniakan Allah SWT kepadanya sebagai ujian, ia disebutkan oleh Allah
SWT :
"Dihiaskan (diuji) bagi manusia itu, nafsu syahwat
dan keinginan serta kecintaan kepada wanita, anak-anak, harta..."
Ayat ini dengan jelas
menyebut syahwat utama lelaki adalah pada wanita. Nabi SAW juga pernah bersabda
:
Ertinya : "Tidak aku tinggalkan fitnah selepasku
yang lebih boleh membawa mudarat kepada lelaki selain wanita" (Riwayat
Al-Bukhari, 7/11, bab Zikir & Doa )”
Kalau boleh saya rumuskan, penerangan Dr Zaharuddin ini
menjelaskan bagaimana kewajiban berhijab merupakan sebuah perintah untuk semua
kaum wanita. Saat bila perintah ini dipatuhi semua dan ramai yang berpakaian
sopan, maka ianya menjadi sebuah bentuk perlindungan kepada wanita daripada
serangan syahwat lelaki. Sekiranya majority
berpakaian mendedah aurat di sekeliling, maka fungsi hijab sebagai pelindung
juga akan menjadi sia-sia, kerana yakinlah nafsu serakah lelaki tidak mengenal
mangsa. Lihatlah bagaimana dalam kewajiba mengenakan hijab dan menutup aurat pun
Islam mengenal pasti keselamatan bersama yang perlu diusahakan bersama.
Janganlah pula kita katakan bahawa wanita sahaja yang perlu
bertanggungjawab atas keselamatan mereka. Tidak pernah sekalipun Islam
mengatakan bahawa lelaki merogol wanita kerana salah wanita yang pakai seksi
misalnya. Ttetapi Islam mengenalpasti tanggungjawab dan tugas masing-masing
dalam memastikan perhubungan simbiosis antara lelaki dan perempuan boleh
dijaga. On the part of the woman mereka perlu menepati dress code mereka seperti
berpakaian sopan, sederhana, menjaga dalam pergaulan dan berhijab. Untuk
tanggungjawab lelaki pula saya akan jelaskan dengan lebih lanjut dalam
persoalan ketiga. Cumanya fahamilah, dalam persoalan isu-isu seksual ini, kalau
kita hendak menyelesaikannya it takes two to tango. Setiap gender perlu
memainkan peranan. 2 persoalan ini saya kira dah banyak menerangkan berkenaan
wanita. Dalam yang terakhir nanti saya cuba terangkan obligasi lelaki pula.
3.0
Kenapa Wanita Perlu Buat Lebih Berbanding
Lelaki?
Persoalannya ialah kenapa wanita kena pakai tudung atau
hijab sedangkan lelaki tidak perlu pun? Seolah-olah menampakan Islam meletakkan
status wanita di bawah lelaki kerana tidak sama kedua-duanya dari segi
berpakaian.
Baik, pertama sekali kita lihat firman Allah yang ini,
“Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki
yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang
haram) dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi
mereka.“ (Surah An Nur : 30)
Firman Allah SWT bermaksud :
“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang
beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan
memelihara kehormatan mereka. “ (Surah An Nur : 31)
Kedua-dua ayat ini
menetapkan supaya lelaki dan wanita dalam islam untuk menjaga pandangan dan
kehormatan diri mereka. Cumanya dalam ayat 31 ini Allah lanjutkan lagi dengan
memberi peringat kepada wanita tentang kewajiban untuk menutup aurat mereka
dengan mengenakan hijab. Lantas ada yang mengatakan bahawa Allah atau Islam
tidak adil di sini.
Pertama sekali,
peringatan ini diturunkan dalam ayat yang berbeza, peringan pertama diberi
terus kepada lelaki bermaksud dalam soal menjaga pandangan ini, kaum lelaki
perlu lebih teliti. Sebab itu Allah ingatkan kaum lelaki terlebih dahulu. Betul
kan bahawa lelaki sangat susah menjaga pandangan, kalau kita lihat di zaman
sekarang ini pun berapa ramai lelaki yang suka melihat yang tidak perlu, usha
gadis di jalanan malah banyak sekali melayan video pornografi. Maka tepat,
apabila lelaki diingatkan terlebih dahulu akan kewajiban ini. Inilah hijab buat
lelaki. Mereka perlu conceal pandangan mereka. Pada masa yang sama Islam
memahami betapa menariknya wanita pada pandangan mata lelaki, dan Islam
menggariskan untuk mereka mengawal pandangan untuk memastikan perasaan mereka
terjaga.
Kedua, peringatan yang
sama juga Allah berikan kepada wanita dalam ayat 31 dan dilanjutkan dengan
ingatan untuk menutup aurat. Nah, bukti sekarang ada di sekeliling anda. Antara
lelaki dengan wanita, siapa yang lebih ramai gagal untuk memenuhi kewajiban
menutup aurat? Sebab itulah Allah lampirkan dalam peringatan ini kepada wanita
berkenaan aurat. Betapa berhikmah Allah dalam menurunkan ingatan. Diingatkan
kepada lelaki terlebih dahulu untuk menjaga pandangan sebelum Allah
mengingatkan kepada wanita dan mereka juga diingatkan berkaitan aurat mereka.
Sebelum saya pergi
lebih jauh lagi, saya betulkan sedikit pemahaman saudara yang membaca terus 2
perenggan paling kanan secara bersambung dan membuat kesimpulan anda. Perenggan yang
atas itu sedang menjelaskan bahawa lelaki juga mempunyai hijab mereka iaitu
menjaga dan menundukkan pandangan. Islam memahami nafsu dan kehendak lelaki dan
seterusnya memberi ingatan untuk menjaga perasaan.
Sedangkan perenggan
yang kedua itu menjelaskan tentang hijab seorang wanita. Makanya ini 2
perenggan yang berbeza. Bukannya bermaksud wanita perlu berhijab sebagai symbol
hormat kepada lelaki demi mendapatkan redha Tuhan. Saya kira ini salah faham
kecil yang boleh kita perbetulkan. Pihak kami juga harus mohon maaf atas teks
yang begitu ringkas itu. Namun saya harap penjelasan saya yang agak panjang
lebar di sini boleh membetulkan semula pandangan saudara.
Berbalik semula kepada
persoalan asas dalam soalan ketiga ini tentang benarkah wanita perlu buat lebih
berbanding lelaki?
Kalau anda melihat dari segi kuantiti kain yang diperlukan
untuk menutup aurat wanita sahaja, sudah pasti jawapannya ialah wanita kena
buat lebih sebab perlu pakai kain yang lebih. Kerana aurat bagi wanita dan
lelaki berbeza.
Lantas ada pula yang mengatakan kenapa aurat wanita dan
lelaki dan kena lain-lain pula?
Mari kita lihat secara logic. Aurat lelaki ialah dari atas
pusat sehingga bawah lutut manakala perempuan secara amnya seluruh tubuh badan
kecuali kedua telapak tangan dan wajah. Sekarang ni cuba bayangkan kalau aurat
wanita sama sahaja macam lelaki. Sudah, saya pasti anda akan mengatakan bahawa
Islam ini agama yang gila. Masyarakat bukan Islam sekalipun tahu ada bahagian-bahagian
sulit wanita berbeza dengan lelaki dan perlu ditutup. Malah wanita yang suka
mendedahkan sana-sini dianggap sebagai tidak sopan. Lantas bila Islam menyuruh
wanitanya untuk menutup aurat mereka dengan sempurna dianggap sebagai
membebankan pula?
Saya yakin ada yang mempersoalkan kenapa rambut pun dikira
sebagai aurat dalam Islam? Beginilah Islam sebuah agama yang sangat-sangat
memuliakan. Hinggakan rambut wanita itupun, di dalam Islam dianggap sebagai
sebuah bahagian yang sangat indah dan perlu dilindungi daripada pandangan umum.
Begini sahajalah, beritahu saya wanita mana yang tidak merasakan bahawa rambut
mampu membuatkan mereka jadi lebih menarik? Antara lelaki dengn wanita, siapa
yang lebih sanggup untuk botakkan kepala? Sudah pasti wanita sangat-sangat
menghargai rambut mereka. Dan begitulah juga Islam, agama ini menghargai rambut
wanita dengan menjadikannya sebagai aurat, tersembunyi pada pandangan umum dan
hanya dikongsi keindahannya dengan orang-orang yang istimewa pada dirinya.
Kenapa pula tidak boleh kalau aurat lelaki sama dengan
wanita? Dalam soal ini, kita perlu melihat kepada fitrah. Lihat pada sejarah
dahulu. Pernah pakaian lelaki dan wanita sama? Sehingga ke waktu sekarang ini
pun, walaupun wanita sudah mula memakai seluar jeans dan juga t shirt, kita
masih lagi boleh membezakan pakaian lelaki dan wanita. Kerana masing-masing
memahami fitrah pakaian mereka. Takkanlah Islam sebuah agama yang memahami
fitrah manusiawi akan mewajibkan sebuah perkara yang tidak masuk akal? Banyak
juga aspek-aspek sains yang boleh menerangkan kenapa aurat lelaki dan perempuan
berbeza.
“Barang siapa
mengerjakan amal soleh, baik lelaki mahupun perempuan dalam keadaan beriman,
maka sesungguhnya Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya
Kami akan memberikan balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik
daripada apa yang telah mereka kerjakan” (Al Nahl:97)
Jelas, lelaki dan perempuan dipandang secara sama rata dalam
Islam dan Islam turut mengenalpasti perbezaan antara kedua-dua gender ini baik
secara fizikal mahupun emosi.
Kalau boleh saya rumuskan, ini pula adab lelaki dan wanita
dalam aspek pergaulan sesama mereka menurut Islam.
Adab yang perlu dijaga oleh lelaki dan perempuan :
Ucapan
yang makruf (baik) dan sopan. Allah SWT telah menjelaskan di
dalam Al Quran supaya kita mengucapkan kata-kata yang baik, kita ditegah
sama sekali mengucapkan
kata-kata yang janggal pada pandangan
susila atau berbentuk 'flirting' (menggoda), gurauan, sendaan yang tidak
bermanfaat dan sia-sia.
Menundukkan
pandangan. Dalam surah an-Nur, terdapat perintah Allah SWT
menyuruh lelaki dan wanita menundukkan pandangan masing-masing khususnya
dalam suasana takutkan fitnah dan yang berbaur syahwat
Mengelakkan
daripada berhimpit dan bersesak-sesak. Imam Bukhari meriwayatkan
daripada Ummu Salamah bahawa Rasulullah SAW setelah memberi salam (solat)
beliau tidak terus bangun. Ini untuk memberi peluang kepada wanita keluar
dahulu.
Tidak
berkhalwat (berdua-duaan). Imam Bukhari meriwayatkan daripada
Ibnu Abbas bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Janganlah sekali kali
seseorang lelaki bersendirian dengan seorang wanita kecuali jika ia
muhrimnya.”
Menghindari
tempat syubhah. Sabda Rasulullah SAW: “Tinggalkanlah perkara yang
meragukan kamu…” (Riwayat Bukhari)
Adab khas untuk wanita :
Iltizam
dengan pakaian Islam. Firman Allah SWT: “Wahai Nabi katakanlah kepada
isteri dan anak-anak perempuan kamu supaya melabuhkan jilbab mereka.”
(Surah Al Ahzab : 59). Dan firmanNya lagi: “Janganlah kamu berhias diri
sebagaimana yang dilakukan oleh kaum jahiliyyah zaman dahulu.” (Surah Al
Ahzab : 33)
Serius
dalam ucapan, tidak ‘mengada-ngada’ atau bermanja-manja dalam
percakapan. Firman Allah SWT : “Dan janganlah kamu merendahkan
(melunak dan memanja-manjakan) percakapan (yang boleh menambat hati semasa
bercakap dengan lelaki asing) sehingga boleh menimbulkan keinginan orang
yang berpenyakit dalam hatinya (yang menyimpan niat buruk terhadap kamu),
dan ucapkanlah perkataan yang baik (sopan).” (Surah Al Ahzab : 32)
Menjaga
pergerakan tidak harus mereka memperlihatkan liuk lintuk dan lenggang
lenggok yang menggoda. Firman Allah SWT: “Janganlah mereka menghentak
kaki untuk menarik perhatian kepada perhiasan yang mereka sembunyikan.”
(Surah An Nur : 31)
Kita melihat di sini, wanita mempunyai sedikit tanggungjawab
khas dalam soal pergaulan. Pun begitu lelaki pula dalam aspek lain mempunyai
tanggungjawab mereka juga. Seorang abang atau ayah perlu memberi keizinan
kepada ahli keluarga wanita yang hendak keluar rumah. Semua ini sebab alasan
untuk melindungi. Lelaki perlu tahu di mana keberadaan ahli keluarga wanita
mereka atas dasar keselematan. Bahkan lelaki juga di dalam Islam akan dianggap
berdosa seandainya isteri, anak perempuan atau adik perempuan mereka tidak
menutup aurat dengan sempurna.
Kalaulah seandainya equality yang anda inginkan itu beerti
wanita dan lelaki perlu memiliki tugas dan tanggungjawab dan kebebasan yang
identical, dalam soal aurat dan pergaulan ini, ia bukan seperti itu.
Masing-masing lelaki dan perempuan mempunyai peranan yang perlu mereka penuhi.
4.0
Tuntuntan Hijab Hanya Ketika Zaman Jahiliyyah
Saya sentuh sedikit sahaja tentang hal ini sebab saya ada nampak
di bahagian komen status saudara bahawa perintah menutup aurat ini hanyalah
untuk zaman Dark Ages dan masyarakat kini sudah mula berubah.
Balik kepada jawapan saya awal-awal tadi, wanita yang
berhijb dikenal sebagai ‘afifah (terlindung) kerana pada zaman jahiliyyah kita
lihat bagaimana wanita dianggap sebagai objek, dilacur dan didagangkan, seks
luar nikah bebas sana sini, pergaulan melampau, bayi-bayi wanita di tanam
secara hidup-hidup.
Sejarah membuktikan saat Islam hadir kebejatan social ini
telah dihapuskan. Wanita diangkat dengan darjat yang amat tinggi. Saat
pemerintahan Islam yang aman damai itu pun, wanita Islam masih lagi mengenakan
hijab kerana memahami bahawa pentingnya hijab sperti yang telah dijelaskan.
Ini kan pula zaman sekarang di mana seks bebas makin teruk
menjadi-menjadi, bayi luar nikah dibuang sana sini, wanita dijadikan symbol seks
dengan pelbagai list wanita paling seksi atau most desireable woman, pornografi
lagi pergaulan bebas tanpa kawalan ini. Adakah tidak sama perlakuan masyarakat
zaman sekarang ini dengan jahiliyyah? Saya kira bahkan makin teruk. Maka
takkanlah perintah mengenakan hijab pada zaman ini jadi tidak relevan pula.
Sekalipun masyarakat secara ajaibnya menjadi aman dan hilang
segala masalah bejat social ini, sudah pasti aurat wanita masih lagi logic untuk
dilindungi daripada pandangan umum dan hanya untuk dilihat oleh lelaki yang
istimewa buat mereka sahaja, masih lagi relevan bukan?
5.0 Kesimpulan
Saya yakin ada yang ditulis di sini bukan seperti apa realiti umat Islam sekarang. Umat Islam sekarang masih lagi terlalu jauh jika hendak dibandingkan dengan ajaran sebenar Al Quran dan As Sunnah. Saya juga berimpian untuk suatu hari nanti agar umat Islam ini kembali sedia adanya kepada keindahan yang telah dianjurkan oleh agama ini. Justeru, ia bukan proses yang mudah tapi tidak mustahil. Sejarah telah membuktikan. Dan kita hanya perlu belajar semula daripada sejarah dan membina semula umat Islam yang memhami tuntutan syariat.
Sekali lagi terima kasih atas soalan-soalan anda. Saya juga kerana persoalan anda ini makin memahami kewajiban hijab di dalam Islam. Jawapan yang saya berikan ini, biarpun saya kira cukup panjang, masih lagi belum cukup komprehensif. Masih lagi punya cacat cela. Andai masih ada lagi persoalan-persoalan yang bermain di fikiran saudara, saya dengan senang hati boleh bertemu dan berbincang dengan lebih lanjut.
Begitu juga dalam jawapan ini, pada sesiapa yang membaca, saya mohon untuk refer lagi hal-hal ini kepada uztaz dan ilmuwan yang lebih pakar. Jangan jadikan saya sebagai satu-satunya rujukan anda.